Wednesday, December 22, 2010

Sabar.




Perkataan yang sangat mudah untuk diterjemahkan dengan kata-kata namun bukan mudah untuk diterjemahkan dalam perbuatan.






Sabar. Menahan. Mencegah.  





Menguatkan makna seperti ini adalah firman Allah Subhanahu Wa Taala dalam kalam-Nya:


“Dan bersabarlah engkau (Muhammad) bersama orang yang menyeru Tuhannya pada pagi dan senja hari dengan mengharap keridhaan-Nya; dan janganlah kedua matamu berpaling dari mereka (karena) mengharapkan perhiasan kehidupan dunia; dan janganlah engkau mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingati Kami, serta menuruti keinginannya dan keadaannya sudah melewati batas.” (Al-Kahfi:28)



Sabar. Kebiasaannya sabar sangat rapat untuk dihubungkaitkan dengan perasaan marah!



Perasaan marah, kecewa, sedih, sakit hati yang ditahan-tahan. Dipendam. Pasti akan menjadi barah pada hati dan diri. Jagalah Hati itu supaya ianya tidak akan ‘meletup’ dalam menanggung dan menahan dalam perasaan. Perasaan yang sentiasa dipendam juga mampu mengakibatkan individu yang sentiasa 'makan hati' menghidap pelbagai penyakit mental mahupun fizikal.



Apabila individu tidak mampu lagi untuk menahan perasaan sabarnya, maka perasaan samada sedih, kecewa, sakit, marah akan meletus begitu sahaja memakan diri dan juga sesiapa sahaja yang berada berhampiran dengannya.



Sabar. Merupakan satu lagi perkara atau tugas yang mesti dan harus HATI laksanakan. Betapa beratnya ia pada Hati untuk menanggungnya andai sabar itu dipaksa dan diri tidak ikhlas dan tidak redha melakukannya.



Sabar dan Sakit.



Memang sakit. Kerana sabar itu bukan mudah untuk dilaksanakan.



Terkadang, ia menjadi beban kepada hati. Sakit dan sabar kerana menanggung dan menahan diri dari meluahkan perasaan yang terpendam serta membungkam di jiwa.



Andai dipaksa kesabaran itu. Tiada lagi keikhlasan dalam diri untuk bersabar. Tiada lagi redha pada diri untuk bersabar.



Namun ketidaksabaran itu, adakah ianya suatu yang akan membuatkan diri menjadi ikhlas? Adakah ianya akan mampu membuatkan diri seseorang itu redha? Ingatlah, bukan redha diri yang di cari asal redha Allah yang paling penting dalam membuatkan diri sendiri redha di akhirat nanti.



Andai dipaksa diri untuk bersabar. Terimalah keterpaksaan itu. Sedikit demi sedikit, ubahlah keterpaksaan itu kepada sesuatu yang akan membuatkan kamu merasa kemanisannya suatu hari nanti kerana kesabaran itu merupakan sesuatu yang perlu kamu usahakan dan latih secara optimal.



Rasulullah shalallahu ‘alaihi wasalam bersabda:


"…barang siapa yang mensabar-sabarkan diri (berusaha untuk sabar), maka Allah akan menjadikannya seorang yang sabar…" (HR. Bukhari)



Ketidaksabaran. Kerana kurangnya iman. Akhirnya, ketidaksabaran itu sendiri menjadi penyakit hati.  Janganlah dijadikan yang asalnya sabar itu sesuatu yang indah. Oleh kerana diri yang terbelenggu dengan hawa nafsu kemarahan, tidak sabar, maka akhirnya sabar itu sendiri menjadi punca matinya hati.



Sabar. Ia bukan satu perasaan yang perlu di identitikan sebagai menyerah dan pasrah pada keadaan! Bahkan ia merupakan satu perasaan yang perlu aktif untuk mengubah keadaan yang ada ke arah yang lebih baik dan terus baik.



Sabar. Bagi seorang mu’min, sabar merupakan salah satu ciri mendasar individu yang bertakwa kepada Allah Subhanahu Wa Taala.



Dalam diamnya seseorang menahan sabar, sesungguhnya dia berusaha membawa hatinya  ke arah panggilan Ilahi.



“Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap siaga (di perbatasan negerimu) dan bertakwalah kepada Allah agar kamu beruntung.” (Ali-Imran:200)



Menyahut cinta Allah padanya. 


"…Dan Allah mencintai orang-orang yang sabar.” (Ali-Imran:146)



Ulama’ mengatakan “Sabar mencerminkan keimanan”. Sabar sebahagian daripada iman. Secara umum, pembahagian sabar itu sendiri telah dikelaskan oleh ulama’ sebagai sabar dalam ketaatan kepada Allah, sabar untuk meninggalkan kemaksiatan dan sabar menghadapi ujian daripada Allah. Seorang yang beriman, baginya tiada tempat pengaduan yang paling hebat selain mengadu kepada Allah Subhanahu Wa Taala.



“Daripada Abu Said dan Abu Hurairah katanya: Tiada seorang Muslim pun yang tidak mengalami penderitaan, keseksaan, kebimbangan, dukacita, kemelaratan dan kesedihan sehingga cucukan duri yang mengenai dirinya melainkan dihapuskan oleh Allah daripada kesalahannya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)



Hakikatnya, bukankah individu itu akan merasa lebih nikmat dan tulus dalam mengadu kepada Allah apabila ditimpa musibah dan kesusahan? Sesungguhnya Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Allah menerima hamba-Nya dalam apa jua keadaan asalkan individu itu sabar dan tulus dalam memohon kepada-Nya dan istiqamah (berterusan) dalam melakukan ibadat.



Pupuklah keikhlasan dan redha dalam diri untuk bersabar dan semoga kesabaran itu akan mendatangkan hikmah kepada individu dan setelah itu bersyukurlah sebagaimana kesyukuran itu akan menggandakan lagi hikmah serta nikmat, begitu jua lah keluhan yang akan menambahkan lagi musibah kepada individu.



"ارجعي إلى ربك راضية مرضية"




(Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan), lagi diredhai (di sisi Tuhanmu).



Sedikit perkongsian. Antara inisiatif yang dilakukan penulis untuk memupuk sifat sabar dalam diri (boleh cuba kalau mahu) :

- mendiamkan diri dan mengasingkan diri buat seketika.

- mengikhlaskan diri dan memperbaharui niat segala yang dilakukan hanyalah untuk mendapatkan keredhaan Allah Subhanahu Wa Taala.


- memperbanyakkan tilawah dan faham makna ayat yang dibaca dan mengharapkan semoga ada pengajaran yang bakal Allah sampaikan kepada diri.

- beritahu diri dan nyatakan perasaan diri kepada orang bakal terima amarah bahawa “Saya tengah bersabar ni, jangan nak menguji.” (ayat biasa penulis yang sedikit panas baran,hu2.)

- minta seseorang teman yang rapat untuk menegur kalau diri sudah mula menunjukkan perasaan tidak puas hati dan mula untuk menunjukkan tanda-tanda hendak mengamuk.

- kalau masih tidak mampu tahan sabar. Ambil wudhu’ dan mengharapkan dengan setiap titisan air sembahyang yang diambil itu mampu melunturkan jua tanda-tanda dan singgahan-singgahan para syaitan yang menggoda diri untuk marah.



Antara lain yang boleh dilakukan dalam memupuk sifat sabar :


- Memperbanyak puasa sunnah. Kerana puasa merupakan hal yang dapat mengurangi hawa nafsu terutama yang bersifat syahwati dengan lawan jenisnya. Puasa juga merupakan ibadah yang memang secara khusus dapat melatih kesabaran.

- Mujahadatun Nafs, iaitu sebuah usaha yang dilakukan insan untuk berusaha secara giat dan maksimal guna mengalahkan keinginan-keinginan jiwa yang cenderung suka pada hal-hal negatif, seperti malas, marah, kikir, dsb.

- Mengingat-ingat kembali tujuan hidup di dunia. Kerana hal ini akan memacu insan untuk beramal secara sempurna. 

- Perlu mengadakan latihan-latihan untuk sabar secara pribadi. Seperti ketika sedang sendiri dalam rumah, hendaklah dilatih untuk beramal ibadah dari pada menyaksikan television misalnya. Kemudian melatih diri untuk menyisihkan sebagian rezeki untuk infaq fi sabilillah, dsb.

- Membaca kisah-kisah kesabaran para sahabat, tabi'in mahupun tokoh-tokoh Islam lainnya. Kerana hal ini juga akan menanamkan keteladanan yang patut dicontohi dalam kehidupan nyata di dunia. 


Dan banyak lagi perkara-perkara lain yang boleh memupuk kesabaran individu.


Antara doa-doa yang boleh diamalkan dalam memupuk kesabaran :


رَبَّنَا أَفْرِغْ عَلَيْنَا صَبْرًا وَثَبِّتْ أَقْدَامَنَا وَانْصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ

"Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir" 
(Al-Baqarah : 250)



رَبَّنَا أَفْرِغْ عَلَيْنَا صَبْرًا وَتَوَفَّنَا مُسْلِمِينَ

"Wahai Tuhan kami, limpahkanlah kesabaran kepada kami, dan matikanlah kami dalam keadaan Islam (berserah bulat-bulat kepada-Mu)" (Al-A'raf : 126)



Wallahu a’lam. Mohon petunjuk hanya dari Al-Khaliq. In sya Allah kheir.




wida/casalova/22 Disember 2010
* 2.23pagi still tak dapat tido. Mencuri-curi tulis post ni walaupun esok (esok ke? sepatut harini lah kot, lega kelas pukul11pagi.hee..) still ada kelas.hu2.harap2 tak tido dalam kelas lah nanti.




Sunday, December 5, 2010

Saya Mahu 'Pindah'!



Alhamdulillah, syukur tidak terhingga kepada Al-Khaliq dan salam selawat ke atas junjungan Nabi Muhammad shalallahu ‘alaihi wasalam kerana pada hari ini, kita masih mampu hidup dalam dua nikmat-NYA yang terbesar iaitu nikmat Iman dan Islam.


Akhirnya, Maal Hijrah bakal disambut sekali lagi. 1 Muharram bakal mendatang hadirkan diri.


Sejarah ringkas. Permulaan penggunaan Kalendar Tahun Hijrah / Hijriah adalah hasil daripada ilham Khalifah Ar-Rasyidin yang kedua iaitu Saidina Umar Al-Khatab radhiyallahu `anhu. Di kalangan bangsa Arab pada zaman dahulu ada pelbagai kalendar yang digunakan seperti Kalendar Tahun Gajah, Kalendar Persia, Kalendar Romawi dan kalendar-kalendar lain yang berasal dari tahun peristiwa-peristiwa besar Jahiliah.


Maka Saidina Umar Al-Khatab telah memilih tahun yang terdapat di dalamnya peristiwa paling agung dalam sejarah Islam iaitu peristiwa hijrah atau perpindahan baginda Nabi Muhammad shalallahu ‘alaihi wasalam dari Makkah ke Madinan untuk dijadikan asas permulaan tahun pertama bagi kiraan kalendar / taqwim Islam. Hasil dari itu, Kesatuan Arab lebih sistematik, bersatu dan tersusun serta mendapat berbagai-bagai kejayaan besar dan bertambah kuat hasil dari pilihan Saidina Umar Al-Khattab.


Kini, setelah 1431 tahun peristiwa tersebut berlalu, semoga ianya tidak mudah dilupakan.


Pada tahun ini, 1 Muharram tahun 1432 Hijrah bersamaan 7 Disember 2010, penulis tidak dapat menyambut peristiwa bermakna ini bersama keluarga tercinta yang berada jauh di Malaysia. Namun Allah Maha Penyayang, Dia memberikan penulis sebuah keluarga besar di Jordan ini untuk menyambut, menghayati dan mengambil iktibar detik peristiwa ini bersama.


Penulis tertanya-tanya apa lah agaknya yang bakal dilakukan oleh penduduk Islam sedunia dalam mengingati peristiwa bersejarah ini?


Adakah sambutan Maal Hijrah ini disambut sama seperti sambutan Tahun Baru Masihi di Malaysia??


Sambutan Tahun Baru Masihi di Malaysia kebiasaannya pada 31 Disember yang disambut dengan kehadiran percikan bunga api dan sorakan “Happy New Year” yang secara tidak langsung menghadirkan ribuan mahupun jutaan umat baginda Nabi Muhammad shalallahu alaihi wasalam, umat yang terdiri daripada kalangan lelaki dan wanita yang bersama-sama untuk melihat keindahan percikan bunga api tersebut!


Sesungguhnya sesuatu perkara yang diredhai-NYA adalah perkara yang tidak menimbulkan kemurkaan-NYA.

----------

1 Muharam - Khalifah Umar Al-Khattab mula membuat penetapan kiraan bulan dalam Hijrah. 10 Muharam - Dinamakan juga hari 'Asyura'. Pada hari itu banyak terjadi peristiwa penting yang mencerminkan kegemilangan bagi perjuangan yang gigih dan tabah bagi menegakkan keadilan dan kebenaran.

Pada 10 Muharam juga telah berlaku:

  1. Nabi Adam bertaubat kepada Allah.
  2. Nabi Idris diangkat oleh Allah ke langit.
  3. Nabi Nuh diselamatkan Allah keluar dari perahunya sesudah bumi ditenggelamkan selama enam bulan.
  4. Nabi Ibrahim diselamatkan Allah dari pembakaran Raja Namrud.
  5. Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa.
  6. Nabi Yusuf dibebaskan dari penjara.
  7. Penglihatan Nabi Yaakob yang kabur dipulihkkan Allah.
  8. Nabi Ayub dipulihkan Allah dari penyakit kulit yang dideritainya.
  9. Nabi Yunus selamat keluar dari perut ikan paus setelah berada di dalamnya selama 40 hari 40 malam.
  10. Laut Merah terbelah dua untuk menyelamatkan Nabi Musa dan pengikutnya dari tentera Firaun.
  11. Kesalahan Nabi Daud diampuni Allah.
  12. Nabi Sulaiman dikurniakan Allah kerajaan yang besar.
  13. Hari pertama Allah menciptakan alam.
  14. Hari Pertama Allah menurunkan rahmat.
  15. Hari pertama Allah menurunkan hujan.
  16. Allah menjadikan 'Arasy.
  17. Allah menjadikan Luh Mahfuz.
  18. Allah menjadikan alam.
  19. Allah menjadikan Malaikat Jibril.
  20. Nabi Isa diangkat ke langit.

Amalan-amalan sunat:

Antara amalan disunatkan pada bulan Muharam:
  1. Berpuasa. Maksud Hadith: “Barang siapa berpuasa satu hari dalam bulan Muharam pahalanya seumpama berpuasa 30 tahun. Maksud Hadith: Barang siapa yang berpuasa tiga hari dalam bulan Muharam, iaitu hari Khamis, Jumaat dan Sabtu, Allah tulis padanya pahala seperti mana beribadat selama 2 tahun.”
  2. Banyakkan amal ibadat seperti solat sunat, zikir dan sebagainya.
  3. Berdoa akhir tahun pada hari terakhir bulan Zulhijah selepas Asar sebanyak 3X.
  4. Berdoa awal tahun pada 1 Muharram selepas Maghrib 3X.

Empat belas perkara sunat dilakukan pada hari Asyura (10 Muharram):

  1. Melapangkan masa/belanja anak isteri. Fadilatnya - Allah akan melapangkan hidupnya pada tahun ini.
  2. Memuliakan fakir miskin. Fadilatnya - Allah akan melapangkannya dalam kubur nanti.
  3. Menahan marah. Fadilatnya - Di akhirat nanti Allah akan memasukkannya ke dalam golongan yang redha.
  4. Menunjukkan orang sesat. Fadilatnya - Allah akan memenuhkan cahaya iman dalam hatinya.
  5. Menyapu/mengusap kepala anak yatim. Fadilatnya - Allah akan mengurniakan sepohon pokok di syurga bagi tiap-tiap rambut yang disapunya.
  6. Bersedekah. Fadilatnya - Allah akan menjauhkannya daripada neraka sekadar jauh seekor gagak terbang tak berhenti-henti dari kecil sehingga ia mati. Diberi pahala seperti bersedekah kepada semua fakir miskin di dunia ini.
  7. Memelihara kehormatan diri. Fadilatnya - Allah akan mengurniakan hidupnya sentiasa diterangi cahaya keimanan.
  8. Mandi Sunat. Fadilatnya - Tidak sakit (sakit berat) pada tahun itu. Lafaz niat: "Sahaja aku mandi sunat hari Asyura kerana Allah Taala.
  9. Bercelak. Fadilatnya - Tidak akan sakit mata pada tahun itu.
  10. Membaca Qulhuwallah hingga akhir 1,000X. Fadilatnya - Allah akan memandanginya dengan pandangan rahmah di akhirat nanti.
  11. Sembahyang sunat empat rakaat. Fadilatnya - Allah akan mengampunkan dosanya walau telah berlarutan selama 50 tahun melakukannya. Lafaz niat: "Sahaja aku sembahyang sunat hari Asyura empat rakaat kerana Allah Taala." Pada rakaat pertama dan kedua selepas Fatihah dibaca Qulhuwallah 11X.
  12. Membaca "has biallahhu wa nik mal wa keel, nikmal maula wa nikmannaseer". Fadilatnya - Tidak mati pada tahun ini.
  13. Menjamu orang berbuka puasa. Fadhilat - Diberi pahala seperti memberi sekalian orang Islam berbuka puasa.
  14. Puasa. Niat - "Sahaja aku berpuasa esok hari sunat hari Asyura kerana Allah Taala." Fadilat - Diberi pahala seribu kali Haji, seribu kali umrah dan seribu kali syahid dan diharamkannya daripada neraka.

* perkongsian daripada Helwi Permai



Peringatan dalam mengikuti perkara-perkara fadhilat. Setiap ibadat dalam Islam mempunyai kelebihan dan fadhilatnya yang tersendiri. Namun dalam perkara-perkara fadhilat seperti ini, terkadang ada segelintir pihak yang menokok tambah fadhilat-fadhilat tersebut mungkin bertujuan menggalakkan lagi umat Islam khususnya dalam beribadat kepada Allah.



Walaubagaimanapun, ketahuilah sesungguhnya segala perkara yang melibatkan soal pahala, keberkatan, fadhilat dan kelebihan adalah hak milik kekal Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Tidak ada seorang makhluk pun yang boleh mendakwa dan menjanjikan sebarang fadhilat atau keberkatan tertentu dengan mereka cipta amalan-amalan yang tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah shalallahu ‘alaihi wasalam dan para sahabat.


Janganlah kita menetapkan sesuatu perkara itu mempunyai kelebihan yang khusus barulah kita mahu melakukan sesuatu ibadat tersebut sedangkan ia tidak mempunyai asas dalam ajaran Islam.



Maka, sebelum mempercayai sesuatu perkara seeloknya kita menyemak dan memastikan segalanya adalah bertepatan dengan sunnah Rasulullah shalallahu ‘alaihi wasalam untuk melayakkan amalan tersebut diterima disamping amalan yang kita lakukan bukanlah semata untuk mendapatkan fadhilat  tetapi jua diiringi dengan keikhlasan kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Semoga kita sama-sama diberi kekuatan oleh Allah.


----------

Ada pula pihak yang tidak suka sambutan Maal Hijrah. Bid’ah katanya. Nabi tak sambut. Hemm, tidak mengapalah. Rasanya tidak perlu isu bid’ah atau tidak bid’ah ini difokuskan kerana penulis tidak berniat untuk terus memanjangkan post pada kali ini.


Berikut merupakan lirik lagu tentang penghijrahan baginda Nabi shalallahu ‘alaihi wasalam yang menjadi halwa telinga dan menyentuh hati penulis semenjak dari bangku sekolah rendah.


Satu Muharram Detik Permulaan
Perkiraan Tahun Islam Hijrah
Perpindahan Nabi dan Umat Islam
Dari Kota Makkah ke Kota Madinah

Atas Keyakinan dan Iman Yang Teguh
Kaum Muhajirin dan Ansar Bersatu
Rela Berkorban Harta dan Nyawa
Demi Menegakkan Islam Tercinta

Hijrah Itu Pengorbanan
Hijrah Itu Perjuangan
Hijrah Itu Persaudaraan
Hijrah Membentuk Perpaduan

Oleh Itu Mari Semua
Kita Sambut Maal Hijrah
Tingkatkan Semangat Tegakkan Syiar Islam
Untuk Sepanjang Zaman 


Rasulullah shalallahu ‘alaihi wasalam bersabda, mafhumnya:

“Barangsiapa yang hari ini lebih bagus dari semalam, maka dia dari kalangan yang beruntung. Barangsiapa yang hari ininya sama seperti semalam, maka dia dari kalangan yang merugi. Barangsiapa yang hari ininya lebih teruk dari semalam, maka dia dari kalangan yang celaka.”


Walaubagaimanapun, pada penulis, untuk menjadi lebih hebat, tidak perlu menjadi orang lain, cukuplah untuk menjadi diri kita sendiri. Namun, orang lain juga merupakan pelengkap hidup yang akan membantu kita untuk menjadi hebat.


Marilah kita sama-sama muhasabah diri untuk terus melakukan penghijrahan!


Hijrah merupakan perpindahan. Adakah kita mahu pindah rumah atau apa?huh. Hakikat, bukan itu semata apa yang dimaksudkan dengan berhijrah. 


Persoalkan diri anda tanpa anda terleka dibuai persoalan-persoalan tersebut.  


Siapakah kita? Apakah tujuan hidup kita? Apa yang harus kita lakukan? Apa yang harus kita laksanakan? Apa yang kita mahukan? Mengapa kita buat begini, begitu?


Kita harus berubah!


Eh. Mengapa kita??


Katakan, ‘SAYA’!


SAYA harus berubah!


Diri sendiri yang harus berubah, yang harus melakukan penghijrahan. Perpindahan itulah yang dimaksudkan. Penghijrahan bukan kepada perkara-perkara negatif yang harus dilakukan, tetapi penghijrahan kepada perkara-perkara yang positif! Perkara-perkara yang diredhai-NYA. In sya Allah. Kita mampu lakukan.



Sesungguhnya kita tidak akan pernah tahu adakah tahun yang seterusnya kita masih akan hidup untuk menghadapinya. Sedangkan hari esok kita tidak akan tahu apakah yang bakal berlaku apatah lagi tahun-tahun yang mendatang.


Rancanglah perjalanan hidup anda. Sedangkan merancang bukanlah untuk berangan-angan tetapi, ianya adalah untuk memperkemaskan lagi perjalanan hidup anda yang mendatang.



Lakukanlah perubahan dengan hati yang ikhlas. Hiasi perubahan dan perjalanan hidup dengan keimanan pada-NYA. Walaupun iman yang ada dalam diri manusia biasa ada turun dan naiknya, sedaya upaya kita jauhkanlah diri dan jalan yang bakal kita lalui daripada dihiasi dengan futur.




Akhir kalam penulis ucapkan Salam Maal Hijrah kepada seluruh umat Islam umumnya dan khususnya kepada seluruh para Mu’minin dan Mu’minat yang sentiasa ada perasaan gentar pada hatinya apabila diucap kalimah Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan perasaan rindu yang tidak terhingga kepada baginda Nabi Muhammad, Rasulullah shalallahu ‘alaihi wasalam.


Bersama ini dipaparkan doa akhir dan awal tahun. Semoga ianya memberikan kelebihan kepada kita semua. Wallahu a’lam.


Bacaan doa akhir tahun (dibaca waktu sesudah solat Asar)

Maksudnya:

Allah Subhanahu Wa Ta’ala berselawat ke atas penghulu kami Muhammad shalallahu ‘alaihi wasalam, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan kesejahteraan ke atas mereka.

Wahai Tuhan, apa yang telah aku lakukan dalam tahun ini daripada perkara-perkara yang Engkau tegah daripada aku melakukannya dan aku belum bertaubat daripadanya. Sedangkan Engkau tidak redha dan tidak melupakannya. Dan aku telah melakukannya di dalam keadaan di mana Engkau berupaya untuk menghukumku, tetapi Engkau mengilhamkanku dengan taubat selepas keberanianku melakukan dosa-dosa itu semuanya. Sesungguhnya aku memohon keampunanMu, maka ampunilah aku. Dan tidaklah aku melakukan yang demikian daripada apa yang Engkau redhainya dan Engkau menjanjikanku dengan pahala atas yang sedemikian itu. Maka aku memohon kepadaMu.

Wahai Tuhan! Wahai yang Maha Pemurah! Wahai Yang Maha Agung dan wahai Yang Maha Mulia agar Engkau menerima taubat itu dariku dan janganlah Engkau menghampakan harapanku kepadaMu Wahai Yang Maha Pemurah. Dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhammad, ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan mengurniakan kesejahteraan ke atas mereka.

Bacaan doa awal tahun (dibaca setelah solat Maghrib)


Maksudnya:

Allah Subhanahu Wa Ta’ala berselawat ke atas penghulu kami Muhammad shalallahu ‘alaihi wasalam, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan kesejahteraan ke atas mereka.

Wahai Tuhan, Engkaulah yang kekal abadi, yang qadim. yang awal dan ke atas kelebihanMu yang besar dan kemurahanMu yang melimpah dan ini adalah tahun baru yang telah muncul di hadapan kami. Kami memohon pemeliharaan dariMu di sepanjang tahun ini dari syaitan dan pembantu-pembantunya dan tentera-tenteranya dan juga pertolongan terhadap diri yang diperintahkan melakukan kejahatan dan usaha yang mendekatkanku kepadaMu Wahai Tuhan Yang Maha Agung dan Maha Mulia.

Wahai Tuhan Yang Maha pengasih dari mereka yang mengasihi dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhammad. Nabi yang ummi dan ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan kesejahteraan ke atas mereka.


* untuk penjelasan adakah bid’ah mahupun haram membaca kedua-dua doa ini boleh baca di sini. 




Wallahu ta'ala a’lam.




Wida/CasaLova/5 Disember 2010
Menanti debaran Maal Hijrah.



Monday, November 22, 2010

دع الأيام تفعــــــــل ما تشــاء



دع الأيام تفعــــــــل ما تشــاء ..... وطب نفسا إذا حكم القضاء

Biarkan masa berlaku semahunya....Murnikan jiwa tatkala berlaku ketentuan

ولا تجــــــــزع لحادثة الليالي ..... فما لحـــوادث الدنيا بقـــــاء


Bersabarlah dengan musibah semalam......Musibah dunia ini bukan selamanya


وكن رجلا على الأهوال جلدا ..... وشيمتك السماحة والوفـــاء

Teguhlah menghadapi segala kesengsaraan....Dan lagakmu penuh toleransi dan ketekunan

وإن كثرت عيوبك في البرايا ..... وسرك أن يكون لها غطـاء


Sekalipun banyak kekuranganmu pada manusia.....Maka rahsiamu akan menjadi tersirat



تستر بالسخاء فكـل عيــــــب ..... يغطيه كمـا قــيــل السخـــاء


Tadbirlah dengan kedermawan maka segala kekurangan...Menutupinya seperti mana dikatakan dermawan

ولا ترج السماحة مــن بخيل ..... فما في النــــــار للظمآن ماء

Janganlah mengharap belas dari si bakhil...Tiadalah di neraka itu air buat si kehausan

ورزقك ليـــس ينقصه التأني ..... وليس يزيد في الرزق العناء

Rezekimu walaupun lambat pasti tidak berkurangan...Juga tidak bertambah walaupun ditekuni


ولا حزن يــدوم ولا ســرور ..... ولا بؤس عليك ولا رخــــاء

Bukanlah kesedihan itu selamanya....Mahupun kesengsaraan dan juga kesenangan


إذا ما كنــــت ذا قـلب قنـوع ..... فأنت ومالك الدنيا ســــــــواء

Jika kau miliki hati yang berpada(merasa cukup apa yg ada)...Nescaya kau akan setanding dengan si pemilik dunia....

ومــــن نزلت بساحته المنايا ..... فلا أرض تقيه ولا سمــــــاء

Sesiapa yang disapa dengan ajal...Tiadalah langit dan bumi dpat melindunginya

وأرض الله واسعة ولــــكــن ..... إذا نزل القضا ضاق الفضاء

Bumi Allah itu luas terbentang tetapi...Apabila tiba ajal-NYA,sempitlah kelapangan..

دع الأيام تغـــــدر كل حيــن ..... فما يغني عن المــوت الدواء

Biarkan hari mengkhianati sepanjang masa....Tidak ada ubat untuk setiap kematian#

*
الإمام الشافعي


-------------------------

Bait-bait syair yang mengimbau 1001 kenangan dalam hidup penulis dan teman-teman seperjuangan semasa kami sama-sama menuntut dalam Kursus Intensif Bahasa Arab (KIBA) pada suatu masa dahulu.



Penghargaan bait-bait syair ini kepada ‘sifu’ yang telah banyak mengajar kami erti hidup dan juga merupakan pencinta kepada budaya Arab serta merupakan insan pertama yang telah memperkenalkan kami dengan syair tersebut. Ustaz Ahmad Fared Mohd Din.



Bait-bait syair yang tiada ertinya pada diri penulis pada suatu masa dahulu. (yelah, dulu kan ustaz paksa kita hafal syair tu.so, memang hafal betul je lah. Tak faham makna pun.huhu..) Tidak tersangka, bait-bait syair yang selalu terlancar di bibir penulis dan teman-teman pada suatu ketika dahulu merupakan bait-bait syair daripada Imam Asy-Syafie.



Apabila dihayati, bait-bait syair ini merupakan satu penghargaan dan hadiah yang paling berharga daripada Ustaz Fared kepada kami selaku anak muridnya yang tersangatlah ‘rajin’ pada suatu masa dahulu.



Secara tidak sedar, pada hakikatnya. Ustaz Fared telah menerapkan nilai, motivasi dan pengajaran yang tidak tergambar oleh kata-kata daripada seorang imam besar kepada diri penulis dan teman-teman.



Bersyukurlah bahawa hakikat penulis dan teman-teman sebenarnya telah berjaya menghafal bait-bait syair tersebut dan mencapai sedikit daripada sejuta kejayaan yang telah membawa kami melangkah ke perjuangan seterusnya. Jordan.



Semoga kami akan sentiasa segar dalam mengingati serta menghayati maksud yang mendalam daripada bait-bait syair ini.



Perubahan.



Semuanya akan berubah.



Pada pendapat penulis yang tidak seberapa ini, penulis faham akan maksud syair ini adalah tentang sesuatu perkara yang sangat berkait rapat dengan masa dan perubahan.



Sama ada perubahan tersebut ke arah kebaikan ataupun tidak. Yakin lah, pasti ada sesuatu yang menyebabkan perubahan tersebut berlaku.



Kenapa?? Apa yang menyebabkannya berubah?



Fikirkan sendiri. Muhasabah diri.



Biarkan perubahan tersebut berlalu mengikut masa. Detik-detik masa yang berlalu, pasti dan akan tetap meninggalkan kesan, tidak kisah lah sama ada kesan yang ditinggalkan tersebut negatif mahupun positif pada hati individu.



Andai kesan yang ditinggalkan oleh perubahan tersebut adalah negatif, sikap anda berubah! Tidak seperti sebelumnya. Maka,



دع الأيام تفعــــــــل ما تشــاء





Biarkan perubahan tersebut berlaku begitu sahaja. Masa yang akan mengubatinya. Masa yang akan memeliharanya kembali.



Namun, jangan menyesal, kerana perubahan itu telah mengakibatkan kamu tidak akan ketemu dengan sesuatu yang sama seperti dahulu.



Terimalah sesuatu dengan seadanya. Wallahu a’lam.






wida/casalova/22112010
*sorry ayat terabur coz pening2 nak exam.
saja nak release sekejap tulis post ni ^.^