Alhamdulillah, syukur tidak terhingga kepada Al-Khaliq dan salam selawat ke atas junjungan Nabi Muhammad shalallahu ‘alaihi wasalam kerana pada hari ini, kita masih mampu hidup dalam dua nikmat-NYA yang terbesar iaitu nikmat Iman dan Islam.
Akhirnya, Maal Hijrah bakal disambut sekali lagi. 1 Muharram bakal mendatang hadirkan diri.
Sejarah ringkas. Permulaan penggunaan Kalendar Tahun Hijrah / Hijriah adalah hasil daripada ilham Khalifah Ar-Rasyidin yang kedua iaitu Saidina Umar Al-Khatab radhiyallahu `anhu. Di kalangan bangsa Arab pada zaman dahulu ada pelbagai kalendar yang digunakan seperti Kalendar Tahun Gajah, Kalendar Persia, Kalendar Romawi dan kalendar-kalendar lain yang berasal dari tahun peristiwa-peristiwa besar Jahiliah.
Maka Saidina Umar Al-Khatab telah memilih tahun yang terdapat di dalamnya peristiwa paling agung dalam sejarah Islam iaitu peristiwa hijrah atau perpindahan baginda Nabi Muhammad shalallahu ‘alaihi wasalam dari Makkah ke Madinan untuk dijadikan asas permulaan tahun pertama bagi kiraan kalendar / taqwim Islam. Hasil dari itu, Kesatuan Arab lebih sistematik, bersatu dan tersusun serta mendapat berbagai-bagai kejayaan besar dan bertambah kuat hasil dari pilihan Saidina Umar Al-Khattab.
Kini, setelah 1431 tahun peristiwa tersebut berlalu, semoga ianya tidak mudah dilupakan.
Pada tahun ini, 1 Muharram tahun 1432 Hijrah bersamaan 7 Disember 2010, penulis tidak dapat menyambut peristiwa bermakna ini bersama keluarga tercinta yang berada jauh di Malaysia. Namun Allah Maha Penyayang, Dia memberikan penulis sebuah keluarga besar di Jordan ini untuk menyambut, menghayati dan mengambil iktibar detik peristiwa ini bersama.
Penulis tertanya-tanya apa lah agaknya yang bakal dilakukan oleh penduduk Islam sedunia dalam mengingati peristiwa bersejarah ini?
Adakah sambutan Maal Hijrah ini disambut sama seperti sambutan Tahun Baru Masihi di Malaysia??
Sambutan Tahun Baru Masihi di Malaysia kebiasaannya pada 31 Disember yang disambut dengan kehadiran percikan bunga api dan sorakan “Happy New Year” yang secara tidak langsung menghadirkan ribuan mahupun jutaan umat baginda Nabi Muhammad shalallahu alaihi wasalam, umat yang terdiri daripada kalangan lelaki dan wanita yang bersama-sama untuk melihat keindahan percikan bunga api tersebut!
Sesungguhnya sesuatu perkara yang diredhai-NYA adalah perkara yang tidak menimbulkan kemurkaan-NYA.
----------
1 Muharam - Khalifah Umar Al-Khattab mula membuat penetapan kiraan bulan dalam Hijrah. 10 Muharam - Dinamakan juga hari 'Asyura'. Pada hari itu banyak terjadi peristiwa penting yang mencerminkan kegemilangan bagi perjuangan yang gigih dan tabah bagi menegakkan keadilan dan kebenaran.
Pada 10 Muharam juga telah berlaku:
- Nabi Adam bertaubat kepada Allah.
- Nabi Idris diangkat oleh Allah ke langit.
- Nabi Nuh diselamatkan Allah keluar dari perahunya sesudah bumi ditenggelamkan selama enam bulan.
- Nabi Ibrahim diselamatkan Allah dari pembakaran Raja Namrud.
- Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa.
- Nabi Yusuf dibebaskan dari penjara.
- Penglihatan Nabi Yaakob yang kabur dipulihkkan Allah.
- Nabi Ayub dipulihkan Allah dari penyakit kulit yang dideritainya.
- Nabi Yunus selamat keluar dari perut ikan paus setelah berada di dalamnya selama 40 hari 40 malam.
- Laut Merah terbelah dua untuk menyelamatkan Nabi Musa dan pengikutnya dari tentera Firaun.
- Kesalahan Nabi Daud diampuni Allah.
- Nabi Sulaiman dikurniakan Allah kerajaan yang besar.
- Hari pertama Allah menciptakan alam.
- Hari Pertama Allah menurunkan rahmat.
- Hari pertama Allah menurunkan hujan.
- Allah menjadikan 'Arasy.
- Allah menjadikan Luh Mahfuz.
- Allah menjadikan alam.
- Allah menjadikan Malaikat Jibril.
- Nabi Isa diangkat ke langit.
Amalan-amalan sunat:
Antara amalan disunatkan pada bulan Muharam:
- Berpuasa. Maksud Hadith: “Barang siapa berpuasa satu hari dalam bulan Muharam pahalanya seumpama berpuasa 30 tahun. Maksud Hadith: Barang siapa yang berpuasa tiga hari dalam bulan Muharam, iaitu hari Khamis, Jumaat dan Sabtu, Allah tulis padanya pahala seperti mana beribadat selama 2 tahun.”
- Banyakkan amal ibadat seperti solat sunat, zikir dan sebagainya.
- Berdoa akhir tahun pada hari terakhir bulan Zulhijah selepas Asar sebanyak 3X.
- Berdoa awal tahun pada 1 Muharram selepas Maghrib 3X.
Empat belas perkara sunat dilakukan pada hari Asyura (10 Muharram):
- Melapangkan masa/belanja anak isteri. Fadilatnya - Allah akan melapangkan hidupnya pada tahun ini.
- Memuliakan fakir miskin. Fadilatnya - Allah akan melapangkannya dalam kubur nanti.
- Menahan marah. Fadilatnya - Di akhirat nanti Allah akan memasukkannya ke dalam golongan yang redha.
- Menunjukkan orang sesat. Fadilatnya - Allah akan memenuhkan cahaya iman dalam hatinya.
- Menyapu/mengusap kepala anak yatim. Fadilatnya - Allah akan mengurniakan sepohon pokok di syurga bagi tiap-tiap rambut yang disapunya.
- Bersedekah. Fadilatnya - Allah akan menjauhkannya daripada neraka sekadar jauh seekor gagak terbang tak berhenti-henti dari kecil sehingga ia mati. Diberi pahala seperti bersedekah kepada semua fakir miskin di dunia ini.
- Memelihara kehormatan diri. Fadilatnya - Allah akan mengurniakan hidupnya sentiasa diterangi cahaya keimanan.
- Mandi Sunat. Fadilatnya - Tidak sakit (sakit berat) pada tahun itu. Lafaz niat: "Sahaja aku mandi sunat hari Asyura kerana Allah Taala.
- Bercelak. Fadilatnya - Tidak akan sakit mata pada tahun itu.
- Membaca Qulhuwallah hingga akhir 1,000X. Fadilatnya - Allah akan memandanginya dengan pandangan rahmah di akhirat nanti.
- Sembahyang sunat empat rakaat. Fadilatnya - Allah akan mengampunkan dosanya walau telah berlarutan selama 50 tahun melakukannya. Lafaz niat: "Sahaja aku sembahyang sunat hari Asyura empat rakaat kerana Allah Taala." Pada rakaat pertama dan kedua selepas Fatihah dibaca Qulhuwallah 11X.
- Membaca "has biallahhu wa nik mal wa keel, nikmal maula wa nikmannaseer". Fadilatnya - Tidak mati pada tahun ini.
- Menjamu orang berbuka puasa. Fadhilat - Diberi pahala seperti memberi sekalian orang Islam berbuka puasa.
- Puasa. Niat - "Sahaja aku berpuasa esok hari sunat hari Asyura kerana Allah Taala." Fadilat - Diberi pahala seribu kali Haji, seribu kali umrah dan seribu kali syahid dan diharamkannya daripada neraka.
* perkongsian daripada Helwi Permai
Janganlah kita menetapkan sesuatu perkara itu mempunyai kelebihan yang khusus barulah kita mahu melakukan sesuatu ibadat tersebut sedangkan ia tidak mempunyai asas dalam ajaran Islam.
Peringatan dalam mengikuti perkara-perkara fadhilat. Setiap ibadat dalam Islam mempunyai kelebihan dan fadhilatnya yang tersendiri. Namun dalam perkara-perkara fadhilat seperti ini, terkadang ada segelintir pihak yang menokok tambah fadhilat-fadhilat tersebut mungkin bertujuan menggalakkan lagi umat Islam khususnya dalam beribadat kepada Allah.
Walaubagaimanapun, ketahuilah sesungguhnya segala perkara yang melibatkan soal pahala, keberkatan, fadhilat dan kelebihan adalah hak milik kekal Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Tidak ada seorang makhluk pun yang boleh mendakwa dan menjanjikan sebarang fadhilat atau keberkatan tertentu dengan mereka cipta amalan-amalan yang tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah shalallahu ‘alaihi wasalam dan para sahabat.
Maka, sebelum mempercayai sesuatu perkara seeloknya kita menyemak dan memastikan segalanya adalah bertepatan dengan sunnah Rasulullah shalallahu ‘alaihi wasalam untuk melayakkan amalan tersebut diterima disamping amalan yang kita lakukan bukanlah semata untuk mendapatkan fadhilat tetapi jua diiringi dengan keikhlasan kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Semoga kita sama-sama diberi kekuatan oleh Allah.
----------
Ada pula pihak yang tidak suka sambutan Maal Hijrah. Bid’ah katanya. Nabi tak sambut. Hemm, tidak mengapalah. Rasanya tidak perlu isu bid’ah atau tidak bid’ah ini difokuskan kerana penulis tidak berniat untuk terus memanjangkan post pada kali ini.
Berikut merupakan lirik lagu tentang penghijrahan baginda Nabi shalallahu ‘alaihi wasalam yang menjadi halwa telinga dan menyentuh hati penulis semenjak dari bangku sekolah rendah.
Satu Muharram Detik Permulaan
Perkiraan Tahun Islam Hijrah
Perpindahan Nabi dan Umat Islam
Dari Kota Makkah ke Kota Madinah
Atas Keyakinan dan Iman Yang Teguh
Kaum Muhajirin dan Ansar Bersatu
Rela Berkorban Harta dan Nyawa
Demi Menegakkan Islam Tercinta
Hijrah Itu Pengorbanan
Hijrah Itu Perjuangan
Hijrah Itu Persaudaraan
Hijrah Membentuk Perpaduan
Oleh Itu Mari Semua
Kita Sambut Maal Hijrah
Tingkatkan Semangat Tegakkan Syiar Islam
Untuk Sepanjang Zaman
Perkiraan Tahun Islam Hijrah
Perpindahan Nabi dan Umat Islam
Dari Kota Makkah ke Kota Madinah
Atas Keyakinan dan Iman Yang Teguh
Kaum Muhajirin dan Ansar Bersatu
Rela Berkorban Harta dan Nyawa
Demi Menegakkan Islam Tercinta
Hijrah Itu Pengorbanan
Hijrah Itu Perjuangan
Hijrah Itu Persaudaraan
Hijrah Membentuk Perpaduan
Oleh Itu Mari Semua
Kita Sambut Maal Hijrah
Tingkatkan Semangat Tegakkan Syiar Islam
Untuk Sepanjang Zaman
Rasulullah shalallahu ‘alaihi wasalam bersabda, mafhumnya:
“Barangsiapa yang hari ini lebih bagus dari semalam, maka dia dari kalangan yang beruntung. Barangsiapa yang hari ininya sama seperti semalam, maka dia dari kalangan yang merugi. Barangsiapa yang hari ininya lebih teruk dari semalam, maka dia dari kalangan yang celaka.”
Walaubagaimanapun, pada penulis, untuk menjadi lebih hebat, tidak perlu menjadi orang lain, cukuplah untuk menjadi diri kita sendiri. Namun, orang lain juga merupakan pelengkap hidup yang akan membantu kita untuk menjadi hebat.
Marilah kita sama-sama muhasabah diri untuk terus melakukan penghijrahan!
Persoalkan diri anda tanpa anda terleka dibuai persoalan-persoalan tersebut.
Siapakah kita? Apakah tujuan hidup kita? Apa yang harus kita lakukan? Apa yang harus kita laksanakan? Apa yang kita mahukan? Mengapa kita buat begini, begitu?
Kita harus berubah!
Eh. Mengapa kita??
Katakan, ‘SAYA’!
SAYA harus berubah!
Diri sendiri yang harus berubah, yang harus melakukan penghijrahan. Perpindahan itulah yang dimaksudkan. Penghijrahan bukan kepada perkara-perkara negatif yang harus dilakukan, tetapi penghijrahan kepada perkara-perkara yang positif! Perkara-perkara yang diredhai-NYA. In sya Allah. Kita mampu lakukan.
Sesungguhnya kita tidak akan pernah tahu adakah tahun yang seterusnya kita masih akan hidup untuk menghadapinya. Sedangkan hari esok kita tidak akan tahu apakah yang bakal berlaku apatah lagi tahun-tahun yang mendatang.
Rancanglah perjalanan hidup anda. Sedangkan merancang bukanlah untuk berangan-angan tetapi, ianya adalah untuk memperkemaskan lagi perjalanan hidup anda yang mendatang.
Lakukanlah perubahan dengan hati yang ikhlas. Hiasi perubahan dan perjalanan hidup dengan keimanan pada-NYA. Walaupun iman yang ada dalam diri manusia biasa ada turun dan naiknya, sedaya upaya kita jauhkanlah diri dan jalan yang bakal kita lalui daripada dihiasi dengan futur.
Akhir kalam penulis ucapkan Salam Maal Hijrah kepada seluruh umat Islam umumnya dan khususnya kepada seluruh para Mu’minin dan Mu’minat yang sentiasa ada perasaan gentar pada hatinya apabila diucap kalimah Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan perasaan rindu yang tidak terhingga kepada baginda Nabi Muhammad, Rasulullah shalallahu ‘alaihi wasalam.
Bersama ini dipaparkan doa akhir dan awal tahun. Semoga ianya memberikan kelebihan kepada kita semua. Wallahu a’lam.
Bacaan doa akhir tahun (dibaca waktu sesudah solat Asar)
Maksudnya:
Allah Subhanahu Wa Ta’ala berselawat ke atas penghulu kami Muhammad shalallahu ‘alaihi wasalam, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan kesejahteraan ke atas mereka.
Wahai Tuhan, apa yang telah aku lakukan dalam tahun ini daripada perkara-perkara yang Engkau tegah daripada aku melakukannya dan aku belum bertaubat daripadanya. Sedangkan Engkau tidak redha dan tidak melupakannya. Dan aku telah melakukannya di dalam keadaan di mana Engkau berupaya untuk menghukumku, tetapi Engkau mengilhamkanku dengan taubat selepas keberanianku melakukan dosa-dosa itu semuanya. Sesungguhnya aku memohon keampunanMu, maka ampunilah aku. Dan tidaklah aku melakukan yang demikian daripada apa yang Engkau redhainya dan Engkau menjanjikanku dengan pahala atas yang sedemikian itu. Maka aku memohon kepadaMu.
Wahai Tuhan! Wahai yang Maha Pemurah! Wahai Yang Maha Agung dan wahai Yang Maha Mulia agar Engkau menerima taubat itu dariku dan janganlah Engkau menghampakan harapanku kepadaMu Wahai Yang Maha Pemurah. Dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhammad, ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan mengurniakan kesejahteraan ke atas mereka.
Bacaan doa awal tahun (dibaca setelah solat Maghrib)
Maksudnya:
Allah Subhanahu Wa Ta’ala berselawat ke atas penghulu kami Muhammad shalallahu ‘alaihi wasalam, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan kesejahteraan ke atas mereka.
Wahai Tuhan, Engkaulah yang kekal abadi, yang qadim. yang awal dan ke atas kelebihanMu yang besar dan kemurahanMu yang melimpah dan ini adalah tahun baru yang telah muncul di hadapan kami. Kami memohon pemeliharaan dariMu di sepanjang tahun ini dari syaitan dan pembantu-pembantunya dan tentera-tenteranya dan juga pertolongan terhadap diri yang diperintahkan melakukan kejahatan dan usaha yang mendekatkanku kepadaMu Wahai Tuhan Yang Maha Agung dan Maha Mulia.
Wahai Tuhan Yang Maha pengasih dari mereka yang mengasihi dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhammad. Nabi yang ummi dan ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan kesejahteraan ke atas mereka.
* untuk penjelasan adakah bid’ah mahupun haram membaca kedua-dua doa ini boleh baca di sini.
Wallahu ta'ala a’lam.
Wida/CasaLova/5 Disember 2010
Menanti debaran Maal Hijrah.
No comments:
Post a Comment