Perkataan yang sangat mudah untuk diterjemahkan dengan kata-kata namun bukan mudah untuk diterjemahkan dalam perbuatan.
Sabar. Menahan. Mencegah.
Menguatkan makna seperti ini adalah firman Allah Subhanahu Wa Taala dalam kalam-Nya:
“Dan bersabarlah engkau (Muhammad) bersama orang yang menyeru Tuhannya pada pagi dan senja hari dengan mengharap keridhaan-Nya; dan janganlah kedua matamu berpaling dari mereka (karena) mengharapkan perhiasan kehidupan dunia; dan janganlah engkau mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingati Kami, serta menuruti keinginannya dan keadaannya sudah melewati batas.” (Al-Kahfi:28)
Sabar. Kebiasaannya sabar sangat rapat untuk dihubungkaitkan dengan perasaan marah!
Perasaan marah, kecewa, sedih, sakit hati yang ditahan-tahan. Dipendam. Pasti akan menjadi barah pada hati dan diri. Jagalah Hati itu supaya ianya tidak akan ‘meletup’ dalam menanggung dan menahan dalam perasaan. Perasaan yang sentiasa dipendam juga mampu mengakibatkan individu yang sentiasa 'makan hati' menghidap pelbagai penyakit mental mahupun fizikal.
Apabila individu tidak mampu lagi untuk menahan perasaan sabarnya, maka perasaan samada sedih, kecewa, sakit, marah akan meletus begitu sahaja memakan diri dan juga sesiapa sahaja yang berada berhampiran dengannya.
Sabar. Merupakan satu lagi perkara atau tugas yang mesti dan harus HATI laksanakan. Betapa beratnya ia pada Hati untuk menanggungnya andai sabar itu dipaksa dan diri tidak ikhlas dan tidak redha melakukannya.
Sabar dan Sakit.
Memang sakit. Kerana sabar itu bukan mudah untuk dilaksanakan.
Terkadang, ia menjadi beban kepada hati. Sakit dan sabar kerana menanggung dan menahan diri dari meluahkan perasaan yang terpendam serta membungkam di jiwa.
Andai dipaksa kesabaran itu. Tiada lagi keikhlasan dalam diri untuk bersabar. Tiada lagi redha pada diri untuk bersabar.
Namun ketidaksabaran itu, adakah ianya suatu yang akan membuatkan diri menjadi ikhlas? Adakah ianya akan mampu membuatkan diri seseorang itu redha? Ingatlah, bukan redha diri yang di cari asal redha Allah yang paling penting dalam membuatkan diri sendiri redha di akhirat nanti.
Andai dipaksa diri untuk bersabar. Terimalah keterpaksaan itu. Sedikit demi sedikit, ubahlah keterpaksaan itu kepada sesuatu yang akan membuatkan kamu merasa kemanisannya suatu hari nanti kerana kesabaran itu merupakan sesuatu yang perlu kamu usahakan dan latih secara optimal.
Rasulullah shalallahu ‘alaihi wasalam bersabda:
"…barang siapa yang mensabar-sabarkan diri (berusaha untuk sabar), maka Allah akan menjadikannya seorang yang sabar…" (HR. Bukhari)
Ketidaksabaran. Kerana kurangnya iman. Akhirnya, ketidaksabaran itu sendiri menjadi penyakit hati. Janganlah dijadikan yang asalnya sabar itu sesuatu yang indah. Oleh kerana diri yang terbelenggu dengan hawa nafsu kemarahan, tidak sabar, maka akhirnya sabar itu sendiri menjadi punca matinya hati.
Sabar. Ia bukan satu perasaan yang perlu di identitikan sebagai menyerah dan pasrah pada keadaan! Bahkan ia merupakan satu perasaan yang perlu aktif untuk mengubah keadaan yang ada ke arah yang lebih baik dan terus baik.
Sabar. Bagi seorang mu’min, sabar merupakan salah satu ciri mendasar individu yang bertakwa kepada Allah Subhanahu Wa Taala.
Dalam diamnya seseorang menahan sabar, sesungguhnya dia berusaha membawa hatinya ke arah panggilan Ilahi.
“Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap siaga (di perbatasan negerimu) dan bertakwalah kepada Allah agar kamu beruntung.” (Ali-Imran:200)
Menyahut cinta Allah padanya.
"…Dan Allah mencintai orang-orang yang sabar.” (Ali-Imran:146)
Ulama’ mengatakan “Sabar mencerminkan keimanan”. Sabar sebahagian daripada iman. Secara umum, pembahagian sabar itu sendiri telah dikelaskan oleh ulama’ sebagai sabar dalam ketaatan kepada Allah, sabar untuk meninggalkan kemaksiatan dan sabar menghadapi ujian daripada Allah. Seorang yang beriman, baginya tiada tempat pengaduan yang paling hebat selain mengadu kepada Allah Subhanahu Wa Taala.
“Daripada Abu Said dan Abu Hurairah katanya: Tiada seorang Muslim pun yang tidak mengalami penderitaan, keseksaan, kebimbangan, dukacita, kemelaratan dan kesedihan sehingga cucukan duri yang mengenai dirinya melainkan dihapuskan oleh Allah daripada kesalahannya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Hakikatnya, bukankah individu itu akan merasa lebih nikmat dan tulus dalam mengadu kepada Allah apabila ditimpa musibah dan kesusahan? Sesungguhnya Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Allah menerima hamba-Nya dalam apa jua keadaan asalkan individu itu sabar dan tulus dalam memohon kepada-Nya dan istiqamah (berterusan) dalam melakukan ibadat.
Pupuklah keikhlasan dan redha dalam diri untuk bersabar dan semoga kesabaran itu akan mendatangkan hikmah kepada individu dan setelah itu bersyukurlah sebagaimana kesyukuran itu akan menggandakan lagi hikmah serta nikmat, begitu jua lah keluhan yang akan menambahkan lagi musibah kepada individu.
"ارجعي إلى ربك راضية مرضية"
(Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan), lagi diredhai (di sisi Tuhanmu).
Sedikit perkongsian. Antara inisiatif yang dilakukan penulis untuk memupuk sifat sabar dalam diri (boleh cuba kalau mahu) :
- mendiamkan diri dan mengasingkan diri buat seketika.
- mengikhlaskan diri dan memperbaharui niat segala yang dilakukan hanyalah untuk mendapatkan keredhaan Allah Subhanahu Wa Taala.
- memperbanyakkan tilawah dan faham makna ayat yang dibaca dan mengharapkan semoga ada pengajaran yang bakal Allah sampaikan kepada diri.
- beritahu diri dan nyatakan perasaan diri kepada orang bakal terima amarah bahawa “Saya tengah bersabar ni, jangan nak menguji.” (ayat biasa penulis yang sedikit panas baran,hu2.)
- minta seseorang teman yang rapat untuk menegur kalau diri sudah mula menunjukkan perasaan tidak puas hati dan mula untuk menunjukkan tanda-tanda hendak mengamuk.
- kalau masih tidak mampu tahan sabar. Ambil wudhu’ dan mengharapkan dengan setiap titisan air sembahyang yang diambil itu mampu melunturkan jua tanda-tanda dan singgahan-singgahan para syaitan yang menggoda diri untuk marah.
Antara lain yang boleh dilakukan dalam memupuk sifat sabar :
- Memperbanyak puasa sunnah. Kerana puasa merupakan hal yang dapat mengurangi hawa nafsu terutama yang bersifat syahwati dengan lawan jenisnya. Puasa juga merupakan ibadah yang memang secara khusus dapat melatih kesabaran.
- Mujahadatun Nafs, iaitu sebuah usaha yang dilakukan insan untuk berusaha secara giat dan maksimal guna mengalahkan keinginan-keinginan jiwa yang cenderung suka pada hal-hal negatif, seperti malas, marah, kikir, dsb.
- Mengingat-ingat kembali tujuan hidup di dunia. Kerana hal ini akan memacu insan untuk beramal secara sempurna.
- Perlu mengadakan latihan-latihan untuk sabar secara pribadi. Seperti ketika sedang sendiri dalam rumah, hendaklah dilatih untuk beramal ibadah dari pada menyaksikan television misalnya. Kemudian melatih diri untuk menyisihkan sebagian rezeki untuk infaq fi sabilillah, dsb.
- Membaca kisah-kisah kesabaran para sahabat, tabi'in mahupun tokoh-tokoh Islam lainnya. Kerana hal ini juga akan menanamkan keteladanan yang patut dicontohi dalam kehidupan nyata di dunia.
Dan banyak lagi perkara-perkara lain yang boleh memupuk kesabaran individu.
Dan banyak lagi perkara-perkara lain yang boleh memupuk kesabaran individu.
Antara doa-doa yang boleh diamalkan dalam memupuk kesabaran :
رَبَّنَا أَفْرِغْ عَلَيْنَا صَبْرًا وَثَبِّتْ أَقْدَامَنَا وَانْصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ
"Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir"
(Al-Baqarah : 250)
(Al-Baqarah : 250)
رَبَّنَا أَفْرِغْ عَلَيْنَا صَبْرًا وَتَوَفَّنَا مُسْلِمِينَ
"Wahai Tuhan kami, limpahkanlah kesabaran kepada kami, dan matikanlah kami dalam keadaan Islam (berserah bulat-bulat kepada-Mu)" (Al-A'raf : 126)
Wallahu a’lam. Mohon petunjuk hanya dari Al-Khaliq. In sya Allah kheir.
wida/casalova/22 Disember 2010
* 2.23pagi still tak dapat tido. Mencuri-curi tulis post ni walaupun esok (esok ke? sepatut harini lah kot, lega kelas pukul11pagi.hee..) still ada kelas.hu2.harap2 tak tido dalam kelas lah nanti.
No comments:
Post a Comment