Saturday, October 30, 2010

DUA HARI, MASA YANG BERLALU

Demi MASA! (1) Sesungguhnya manusia itu di dalam kerugian (2) kecuali orang-orang yang beriman, dan berbuat amal soleh, dan berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran (3).





28 OKTOBER 2010



Hari yang sangat menyesakkan jiwa dan diri. Bangun pagiku tidak lagi seperti hari-hari sebelumnya. Hari yang berbeza. Waktu yang berbeza. Sesungguhnya hari dan masa-masa yang berlalu tidak akan kembali lagi kecuali dengan izin-NYA.



Al-Hassan Al-Basri mengungkapkan dalam kata-katanya: “Tidak suatu hari pun bila terpancar sahaja fajar, melainkan masa akan menyeru kepada kamu:  “Wahai anak Adam! Aku masa yang baru. hanya pekerjaan kamu menjadi saksi. Maka ambillah daku untuk bekalanmu. Sesungguhnya selepas itu aku pergi aku tidak akan kembali lagi hingga sampailah ke hari kiamat nanti.”



Kaki melangkah menuju ke jamiah (universiti). Heretan kaki. Malas! Perasaan malas menebal dalam diri namun ku gagahkan kaki terus melangkah ke destinasi. Di dalam kelas, aku tidak mampu untuk tumpukan perhatian kepada lecturer yang mengajar. Mataku halakan tajam ke arah lecturer. Namun hati dan pemikiranku bukanlah seperti tajamnya pandangan mataku. Kosong. Setiap butir kata lecturer menusuk masuk ke telinga kanan dan keluar kembali melalui telinga kiri.



Aku tersenyum. Ketawa. Rakan-rakan semuanya menyambut tawaku. “Kegembiraanku”. Semuanya ketawa bersamaku. Riang dan gembira. Haha! “Gembiranya…” Hakikat. Hanya Allah yang Maha Mengetahui. Palsu! Semuanya palsu. Apa yang ada dalam hati. Sesungguhnya DIA yang Maha Mengetahui.



Dunia ibarat pentas lakonan. Manusia itu pelakon dan pengarah utamanya. Al-Quran Wa Sunnah itulah skripnya. Malaikat itulah jurugambarnya. Islam itulah jalan ceritanya. Kiamat itulah kesudahan penggambarannya. Padang Mahsyar tempat penganugerahannya. Rasulullah shalallahu ‘alaihi wasalam "Pelakon Terbaiknya". Dan ALLAH Subhanahu Wa Taala itulah Jurinya. Syurga atau Neraka adalah Tropinya.



Kehidupan dunia yang penuh tipu daya manusia. Aku abaikan semua itu. Kerana, aku juga merupakan salah seorang daripada penipu-penipu tersebut! Kenapa aku perlu ambil kisah semua itu? Bila Kita berseorangan, bukanlah bermakna kita tidak berteman, bukanlah jua bermaksud kita bersendirian. Tetapi AKAL yang sejengkal itulah TEMAN. ILMU di dada itulah KAWAN. Dan AL-QURAN itulah PEDOMAN.



Tapi. Bukankah setiap yang kita lakukan biarlah jujur? Kerana kejujuran itu terlalu penting dalam sebuah kehidupan. Bukankah seperti itu yang sebenarnya? Tanpa kejujuran itulah yang membuatkan kehidupan itu sentiasa menjadi mainan manusia.



Usai dua buah kelasku pada hari ini yang juga bermaksud dua buah kelas yang aku lalui dengan sia-sia! Tiada pengisian yang diterimaku yang hatinya tidak tenteram. Aku mencari ketenangan tersebut. Sehingga ke Amman aku mencarinya. Memandangkan esok hari Jumaat dan seterusnya hari Sabtu merupakan hari cuti kepadaku untuk melarikan diri untuk seketika daripada status seorang pelajar.



Di Amman, Jordan. Aku terasa sepertinya balik ke kampung. Cuma yang berbezanya, kampungku ini tiada mak, ayah, angah, alang, ateh dan adik. Namun, di Amman mampu buatku lupakan seketika segala permasalahan dengan melayan kerenah anak-anak kak long. Paling mencuit hati. Gelagat Safwan yang sudah boleh berjalan. Umurnya satu tahun lebih. Selain itu, aku dan teman-teman melupakan segala permasalahan kami masing-masing dengan menolong kak long menyediakan makanan untuk peserta-peserta kursus Haji yang berlangsung pada hari Jumaat 29 Oktober 2010 (8pagi-3petang).



Kami menolong kak long memasak sejak tiba di rumah kak long dari hari Khamis (28 Oktober 2010). Memasak sehingga lewat malam sangat memenatkan. Namun, kepenatan sedikit terubat juga dengan pelbagai kerenah yang ku terima daripada anak-anak kak long dan juga teman-teman.



Hari Jumaat, pada malamnya kami keluar ke Mecca Mall setelah minta izin daripada kak long dan suaminya Ustaz Sulaiman juga merupakan Pengarah Malaysian Student Department (MSD) yang bertanggungjawab ke atas setiap pelajar di Jordan.



Kami meluangkan masa bersama seramai 8 orang kesemuanya termasuk diriku di pusat bowling yang terlatak di Mecca Mall. Terasa puas! Jauh dari kehidupan yang menyakitkan. Kami bersuka sepuasnya. Melepaskan gelak ketawa yang membungkam dalam diri. Gelak tawa yang sekian lama menyembunyikan diri dalam diri akibat permasalahan yang bertimpa-timpa!



“Dan Dialah yang menjadikan kamu sebagai khalifah-khalifah di bumi, dan menaikkan sebahagian kamu dalam darjat di atas sebahagian yang lain untuk mengujimu atas (karunia) yang diberikan-NYA kepadamu. Sesungguhnya Tuhanmu sangat cepat memberi hukuman dan sungguh, Dia Maha Pengampun, Maha Penyayang.” (Surah Al-An’am, ayat 165)




29 OKTOBER 2010






Hari sabtu kembali ke Irbid. Terasa diri bakal kembali ke satu dunia yang bakal menyesakkan jiwa. Dunia yang dekat dengan segala permasalahan yang ada. Diri yang benci menunggu dan tertanya-tanya apa yang bakal terjadi pada masa hadapannya!



Namun, ini lah dunianya. Duniaku dan teman-teman mungkin berbeza. Dunia yang masing-masing ada rahsianya tersendiri. Dunia yang sentiasa mengubah diri mengikut apa yang kita pilih. Kami harus kuat untuk menempuh segalanya.



Bagiku. Setiap masa sangat berharga. Setiap saat. Setiap detik. Setiap minit, jam, hari, bulan dan tahun. Sangat berharga. Setiap perkara yang berlaku dalam detik-detik hidupku. Aku tidak akan biarkan manusia yang berniat menyakitkan masa-masaku untuk terus hidup dalam duniaku. Semoga Allah permudahkan diriku untuk memberi kemaafan kerana sesungguhnya aku insan kerdil yang tidak layak untuk memaafkan. Allah Maha Pengampun.



“Masa yang berlalu akan menjadi sejarah. Masa kini akan tetap berlalu tanpa menanti kita. Masa akan datang merupakan sesuatu yang belum pasti tiba. HARGAILAH MASA. Hargailah apa yang kita miliki hari ini. Yang berlalu biarlah ia berlalu. Moga di masa hadapan akan tiba saat yang membahagiakan dalam hidup kita, Insya Allah.”



Mungkin. Bukan masa yang berlalu dengan cepat. Tetapi, kitalah yang lambat mengejarnya. Sesungguhnya aku mohon keredhaan-Mu dalam setiap detik masaku.
Kini berusaha mencari senyum yang hilang. Berusaha mencari penawarnya.



“Sesungguhnya bagi setiap penyakit itu ada ubat. Maka apabila ubat itu serasi dengan penyakit, ia akan sembuh dengan izin Allah 'azza wajalla.” (Riwayat Muslim dari hadis Abi Az-Zubair dari jabir dari Rasulullah).



Yakin. Bersyukur. Dan Redha dengan ketentuan-NYA.  Semoga aku begitu.





wida/casa lova/30102010

2 comments:

  1. wirda, heheh, nape x sonok ni?
    Nak mai UK?
    Hehe, akak lak terasa nak g Jordan snanye!

    ReplyDelete
  2. akk@adikeica..hehe,mne1 ni ek,akk ke adik?;p alhamdulillah,sy dh sonok2 je skang..
    xdpt nk g ag lah trip UK,blum ad jdoh nk jmpe akk.insyaAllah,pjg umur kte jmpe,,
    akk nk dtg cni ke?sila3..sblm sy blek msia boleh la jmpe :)

    ReplyDelete