Friday, October 8, 2010

HUJAN


Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.




Alhamdulillah, rasa syukur yang tidak terhingga hanya mampu penulis ucapkan apabila setelah sekian lama bumi Irbid dilimpahi hujan juga akhirnya. Semoga hujan yang turun ini adalah hujan rahmat.


Firman Allah Subhanahu Wa Taala bermaksud:


“Dan Dialah yang meniupkan angin sebagai pembawa berita gembira sebelum kedatangan rahmat-Nya (hujan); sehingga apabila angin itu membawa awan mendung. Kami halau ke suatu daerah yang tandus, lalu Kami turunkan hujan di daerah itu. Kemudian Kami keluarkan dengan sebab hujan itu pelbagai macam buah-buahan. Seperti itulah Kami membangkitkan orang-orang yang telah mati, mudah-mudahan kamu mengambil pelajaran.” (Surah Al-A’raf:57)


Lebih kurang pada pukul 3.30 petang bertarikh 8 Oktober 2010, penulis seperti terdengar detik-detik hujan di luar rumah. Seperti tidak percaya dengan apa yang didengari, penulis meluru ke tingkap bilik dan memerhatikan ke luar. Alhamdulillah, benar seperti yang dijangka. Manik-manik hujan mula merintik membasahi bumi Irbid! Bau harum hujan menusuk ke hidung. Syahdu. Seperti hendak menangis kegembiraan dan tidak percaya dengan apa yang disaksikan. Rindu pada hujan membuak-buak. Oleh sebab terleka menghayati hujan lebat yang sekejap, penulis terlupa untuk memanjatkan doa kepada-NYA.


Imam asy-Syafi'i berkata: "Aku telah mendapati banyak orang yang mencari terkabulnya doa pada saat turun hujan dan pada saat shalat didirikan."

Lafaz doa
ketika hujan turun ialah:


اللَّهُمَّ صَيِّبًا نَافِعًا


Maksud: Ya Allah, jadikanlah ia hujan yang bermanfaat.(HR al-Bukhari)


23 September 2010 telah genap setahun penulis dan teman-teman seperjuangan hidup di bumi Irbid, Jordan ini. Namun, dalam masa setahun itu jua lah kami telah banyak belajar untuk menghargai segala benda yang berada di sekeliling. Bumi Irbid bukanlah seperti bumi Malaysia, tanah air tercinta yang lengkap dengan segala keperluan yang kami perlukan. Setiap kebiasaan kami di Malaysia, terpaksa kami lupakan dan hakikatnya, kami perlu belajar setiap kebiasaan yang dilalui harian oleh warga Arab di sini.


Antara kebiasaan di Malaysia yang terpaksa kami terima hakikat untuk melupakannya adalah hakikat bumi Malaysia yang kerap kali disirami hujan! Sudah satu tahun lebih kami hidup di bumi Irbid, bumi para anbiya’ ini, dan hakikatnya penulis boleh bilang dengan jari sahaja berapa kali bumi Irbid ini disirami hujan. Dan pada hari ini (8 Oktober 2010), bumi Irbid dilimpahi rahmat-NYA (hujan)!


Hujan di sisi Allah hakikatnya adalah rahmat namun jarang sekali Allah turunkannya sebagai tanda murka. Ada hujan rahmat dan ada juga hujan azab bagi manusia yang bongkak melawan perintah-Nya.


Hakikatnya, pada hari ini kita boleh melihat di beberapa kawasan di dunia ini telah terjadi dengan apa yang disebutkan Allah Subhanahu Wa Taala dalam kalam-NYA yang bermaksud:


“Maka Kami kirimkan kepada mereka taufan, belalang, kutu, katak, dan darah (air minum berubah menjadi darah) sebagai bukti-bukti yang jelas, tetapi mereka tetap menyombongkan diri dan mereka adalah kaum yang berdosa.” (Surah Al-A’raf:133)


Antara peristiwa yang menggemparkan dunia pernah berlaku pada suatu masa dahulu adalah peristiwa "Hujan Darah". Peristiwa ini terjadi di wilayah Kerala India. Hal aneh yang terjadi di selatan negara bahagian Kelara India sempat membuat masyarakat terkejut dan ketakutan.


Peneliti sementara telah mengungkapkan bahawa partikel mikroskopis dalam air, memiliki kesamaan dengan partikel yang terkandung dalam sel darah manusia. Itulah hal yang menjadi penyebab air hujan menjadi warna merah seperti darah. Untuk lebih jelasnya, berikut video peristiwa hujan darah di India. 




Pada hakikatnya, terdapat banyak lagi petanda-petanda yang telah Allah tunjukkan kepada kita. Semoga setiap perkara yang diperlihatkan oleh Allah itu mampu membuatkan kita berfikir dan mengambil pengajaran daripadanya. Berfikirlah sama ada ianya hujan rahmat mahupun hujan azab!


Walaubagaimanapun, hujan di bumi Irbid ini khususnya boleh dikatakan secara rasminya telah menunjukkan tanda awal kepada kami disini bahawa kami perlu bersedia untuk menghadapi musim syita’ (musim sejuk)! 




Sekarang, kami hanya perlu menunggu pengisytiharan daripada persatuan pelajar di sini untuk mengubah perkiraan waktu jam. Selepas itu, penulis dan teman-teman seperjuangan akan menikmati musim sejuk untuk kali terakhir di bumi anbiya’ ini sebelum pulang ke Malaysia dalam masa tidak sampai setahun sahaja lagi. In sya Allah.


“Ya Allah, turunkanlah hujan di sekitar kami, bukan untuk merosakkan kami, Ya Allah, turunkanlah hujan di dataran tinggi, beberapa anak bukit, perut lembah dan beberapa tanah yang menumbuhkan pepohon.” (HR al-Bukhari dan Muslim ).



wida/Casa Lova/cerita hujan


No comments:

Post a Comment