kuncupan bunga kuning itu adalah salah satu proses dalam perkembangannya bakal memberi sinar dan menampakkan keindahannya pada suatu hari nanti
Alhamdulillah, usai azan Maghrib pada pukul 7.21 malam tadi menandakan berakhirnya Ramadhan ke-6 pada hari ini. Semoga berjaya ditempuhi dengan jayanya oleh semua umat Islam khususnya. Hari ini, merupakan hari ke-6 bagi penulis dan teman-teman dalam menghadapi cuti semester bagi musim panas yang berakhir pada hari pertama kami berpuasa di bumi Jordan ini iaitu pada 11 Ogos 2010.
Pada hari tersebut merupakan hari terakhir dan terasa hari yang sangat panjang dalam hidup penulis dan sebahagian teman yang bakal menduduki peperiksaan untuk subjek peperiksaan yang terakhir pada musim panas ini. Subjek Thaqofah Jamaliah atau dalam Bahasa Inggerisnya ‘The BEAUTY of CULTURE’ tersangatlah mencabar mentaliti dan jiwa penulis dan teman-teman para ahli ekonomi ini.
Thaqofah Jamaliah. Matapelajaran yang bukan dalam bidang pengkhususan Ekonomi dan Perbankan Islam yang kami ambil di Universiti Yarmouk, Jordan ini sangat-sangatlah memeningkan kepala untuk kami memahaminya. Apabila selesai sahaja menjawab kertas peperiksaan tersebut maka, berakhir jualah sesi pembelajaran kami pada musim panas di Jordan, sekaligus menamatkan sesi pembelajaran kami dalam matapelajaran Thaqofah Jamaliah yang lebih menitik beratkan aspek falsafah dan kesenian dalam pemahamannya.
Walaubagaimanapun, seorang teman penulis yang juga mengambil matapelajaran ini menasihatkan penulis dan teman-teman lain supaya mengambil istifadah daripada matapelajaran tersebut.
Beliau menasihatkan: “Korang janganlah risau sangat, in sya Allah, semuanya baik-baik belaka. Walaupun pada kita subjek ni semacam subjek killer, tapi anggaplah bahawa Allah hendak menunjukkan dan membuka mata kita bagaimana ahli-ahli falsafah dan para seniman yang bukan beragama Islam itu boleh mengkagumi segala ciptaan-Nya. Mereka lebih banyak mengkaji tentang segala ciptaan Tuhan, dan sepatutnya kita malu! Kita baru belajar asasnya sahaja sudah banyak merungut dan yang asyik kita fikirkan adalah tentang result kita yang bakal down kalau subjek ni tidak memenuhi kehendak yang kita inginkan untuk meningkatkan muaddal.” panjang lebar teman itu berbicara membuatkan penulis berfikir tentang apa yang diperkatakannya.
Benar apa yang diucapkan teman penulis itu. Namun ahli-ahli falsafah, para seniman, tokoh-tokoh sejarah yang telah kami kenali melalui subjek ini, seperti; Alexander Baumgarten yang mengkaji tentang ilmu Estetika, Plato, Aristotle, Leonardo Da Vinci, Samuel Johnson, Joshua Reynolds dan ramai lagi yang telah kami kenali dalam bahagian mereka masing-masing tetap tidak akan mampu untuk menandingi tokoh sejarah yang paling banyak memberi kesan dan paling banyak mempengaruhi jalan hidup manusia iaitu baginda Nabi Muhammad shalallahu ‘alaihi wasalam!
Sedangkan Micheal H.Hart yang merupakan seorang ahli sejarah, pakar matematik dan pakar astronomi dan bukan beragama Islam itu juga sangat mengkagumi baginda Nabi Muhammad shalallahu ‘alaihi wasalam, apatah lagi kita yang sememangnya mendambakan untuk berusaha mengikut segala apa yang diajarkan baginda kepada kita.
Micheal H.Hart telah menulis sebuah buku yang bertajuk The 100 yang diterbitkan pada tahun 1978. Buku ini kemudian diterbitkan semula dengan tajuk The 100: A Rangking of The Most Influential Persons in History terbitan Carol Publishing Group pada tahun 1992. Di dalamnya dimuatkan kajian beliau berhubung 100 orang tokoh-tokoh sejarah yang paling banyak memberi kesan dan paling banyak mempengaruhi jalan hidup manusia dan akhirnya beliau merumuskan serta menempatkan baginda Nabi Muhammad shalallahu ‘alaihi wasalam pada kedudukan yang teratas sekali di dalam ranking pengkajian beliau.
Walaubagaimanapun, semua itu telah berakhir. Thaqofah Jamaliah (The Beauty of Culture), Tarbiah Watoniah (Civic Education) dan Maharat fi Hayatiah (Skills in Life). Semuanya telah berakhir. Kini, penulis dan para teman seperjuangan masing-masing menanti penuh debaran keputusan yang sedikit sebanyak akan memberi perubahan dalam kehidupan kami sebagai seorang pelajar.
Hari ini, pada Ramadhan ke-6 ini jugalah, penulis telah melihat keputusan bagi segala jerih susah dan payah dalam menghadapi kehidupan penulis sebagai pelajar di bumi bertuah pada musim panas ini. Alhamdulillah. Itu sahajalah yang mampu diucapkan melihat kepada keputusan peperiksaan bukanlah seperti yang diharapkan.
In sya Allah, dengan harapan yang masih menggunung tinggi untuk membawa pulang segulung ijazah daripada Universiti Yarmouk ini, penulis tidak akan berputus asa. Harapan untuk membawa ijazah dunia dan ijazah akhirat tetap akan menjadi matlamat kehidupan.
Semoga segala apa yang telah dipelajari dan difahami kita dalam kehidupan sebagai seorang yang menuntut ilmu akan diamalkan dalam kehidupan seharian dan sedaya upaya kita akan tetap berusaha untuk mendapatkan dan membawa pulang ‘ijazah akhirat’ ke dunia yang abadi nanti dengan keputusan yang cemerlang! Tiada istilah GAGAL dalam kehidupan selagi seseorang itu mampu berusaha untuk mencapai matlamatnya.
Kerana ilmu dipelajari untuk diamalkan, maka pencari ilmu seharusnya bersegera mengamalkan apa yang telah diketahui dan difahami, jika itu adalah tentang amalan-amalan yang boleh segera kita lakukan.
Ali bin Abi Thalib mengatakan: “Wahai pembawa ilmu, beramallah dengan ilmu itu, barang siapa yang sesuai antara ilmu dan amalannya maka mereka akan selalu lurus.” (Riwayat Ad-Darimi).
وَالَّذِينَ اهْتَدَوْا زَادَهُمْ هُدًى وَآتَاهُمْ تَقْوَاهُمْ
“dan (sebaliknya) orang-orang yang menerima petunjuk (ke jalan yang benar), Allah menambahi mereka dengan hidayah petunjuk, serta memberi kepada mereka (dorongan) untuk mereka bertaqwa.” (Surah Muhammad, ayat 17).
Casa Lova/16 Ogos2010/6 Ramadhan 1431
Jiwa kacau semangat dicari.
Semoga Ramadhan memberikan ketenangan.
In sya Allah.
No comments:
Post a Comment