Anger is Danger |
Rasa itu kini meluap
Benci amarah itu
Kini menampakkan ruang-ruangnya
Menzahirkan rasa
Mungkin kau tidak pernah mengerti
Mungkin kau tidak pernah melihat
Mungkin kau tidak pernah merasa
Rasa kita, mungkin lain
Rasa kita, mungkin juga sama
Kau punya ruang sendiri
Kau punya hidup sendiri
Kau punya cita sendiri
Aku faham...
Tapi, pernahkah?
Pernahkah kau sedar rasa jauh hati ini
Pernahkah kau merasa dilupai
Pernahkah kau fahami persahabatan ini
Lebih baik aku diam
Lebih baik aku sepikan diri
Lebih baik aku jauhkan diri
Lebih baik aku membawa diri
Supaya kau tidak lagi merasa
“Perlukah aku merayu melutut minta difahami”
Supaya kau tidak lagi merasa
“Bebannya diri menanggung persahabatan yang sakit”
Andai kau fahami hati
Tidak akan kau persoalkan besarkah salahku pada kau
Andai aku fahami hati
Tidak akan aku persoalkan besarkah salah kau padaku.
-----
Perasaan benci dan marah merupakan satu penyakit hati yang mampu membinasakan diri. Dendam menggunung tak pernah padam. Itu fitrah manusia. Itu kebiasaan manusia..
Hubungan kekeluargaan, persahabatan mahupun rumah tangga yang dibina juga mampu hancur disebabkan perasaan benci, marah, sakit hati.
Perasaan negatif dalam diri jika tidak dikawal mampu membuatkan individiu melahirkan kata-kata yang terkadang akan menyakitkan hati individu lain.
Jangan kerana mulut, badan binasa. Jangan kerana mulut, hati merana. Jangan kerana mulut, hancur dunia.
Marah. Marah. Marah. Benci. Dendam. Sakit.
Perasaan-perasaan ini hanya musuh kepada hati. Sungguh, ia akan memudaratkan diri. Membahayakan jantung dan paru-paru. Antara kajian mengenai fakta ini boleh dilihat disini, disini dan disini.
Jagalah hati. Janganlah dizalimi para hati dengan perasaan-perasaan yang membunuh ini.
Lantaran pentingnya menahan marah Rasulullah shalallahu ‘alaihi wasalam sampai berpesan melalui sabdanya:
Dari Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu bahwa seorang lelaki telah berkata kepada Rasulullah shalallahu ‘alaihi wasalam yang maksudnya: "Berwasiatlah kepada ku." Sabda Rasulullah shalallahu ‘alaihi wasalam: "Jangan kamu marah." Maka lelaki itu mengulangi kata-katanya berulang kali. Sabda Rasulullah shalallahu ‘alaihi wasalam: "Jangan kamu marah". (HR. Bukhari)
Rasulullah shalallahu ‘alaihi wasalam bersabda, "Berlapang dadalah kamu terhadap orang yang membodohi kamu. Engkau suka memberi maaf kepada orang yang telah menganiaya kamu. Engkau suka memberi kepada orang yang tidak pernah memberikan sesuatu kepadamu. Dan, engkau mahu bersilaturahim kepada orang yang telah memutuskan hubungan dengan engkau." (HR. Thabrani)
Allah Subhanahu Wa Taala juga berfirman dalam kalam-Nya:
“… dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang lain. Dan Allah mencintai orang yang berbuat kebaikan.” (Surah Ali Imran: 134)
Semoga kita tergolong dalam individu yang mampu menahan amarahnya. In sya Allah.
Wida/casalova/8 Februari 2011
* bait-bait kata yang mula-mula tiada kaitan antara yang hidup mahupun yang sudah meninggal dunia. (kalau ada yang terasa penulis tidak bertanggungjawab ;p )
* syukur Alhamdulillah juga kerana teman-teman penulis sudah kembali dari Jeddah untuk meneruskan perjuangan menuntut ilmu kami di bumi Jordan ini! Artikel menceritakan tentang mereka pada mulanya disini.
No comments:
Post a Comment