Monday, January 31, 2011

Pengalaman itu Sangat Berharga.


Bismillahirrahmanirrahim,







Salam hamdalah, syukur beribu syukur penulis memanjatkan kesyukuran kepada Ilahi kerana telah membawa penulis dan teman-teman kembali dengan selamat ke bumi Jordan.




Setelah sekian lama akhirnya penulis mampu meng-update blog ini. Pada 16 Januari 2011 penulis dan teman-teman seperjuangan telah berangkat ke Mesir untuk memenuhi cuti semester. Kami seramai 16 orang telah berpecah kepada 2 kumpulan untuk melawati bumi Mesir. Manakala teman seperjuangan seramai 4 orang lagi menghabiskan masa cuti mereka ke Turki.




Kumpulan pertama seramai 6 orang dan diketuai oleh teman serumah penulis sendiri iaitu Nudra Shafini dan kami pada dasarnya akan mengikuti travel yang akan dibawa oleh mushrif (peneman) juga teman satu sekolah Nudra dahulu serta rakan mushrif tersebut. Penulis mengikuti kumpulan ini yang juga merupakan setiap ahlinya adalah dari kalangan teman serumah penulis sendiri.




Manakala kumpulan kedua seramai  11 orang diketuai oleh Khairiah Mokhtar yang akan dibawa oleh mushrif merangkap sepupu Khairiah sendiri.




Kami telah berangkat ke bumi Mesir pada waktu yang sama namun, kepulangan kami tidak seiring bersama.




Penulis tidak berasa mahu menceritakan pengalaman bercuti di bumi Mesir yang sudah pasti penulis akan menceritakan betapa berharganya pengalaman berjalan di bumi anbiya’ yang terdapat macam-macam ragam manusia itu.




Pada entri kali ini penulis lebih berminat untuk menceritakan pengalaman sewaktu berlakunya rusuhan di bumi Mesir.




Pada 28 januari 2011, penulis dan teman-teman seperti biasa akan bangun awal untuk memenuhi tuntutan kami meneruskan perjalanan dari Cairo ke Alexandaria. Seperti biasa juga, walaupun kami telah bersiap awal, namun van yang bakal membawa kami ke destinasi lambat tiba. Lebih kurang pukul 9 pagi kami bertolak ke Alexandaria dan berhenti solat Jumaat bagi mushrif manakala kami terus melaksanakan solat jamak qasar memandangkan ruangan solat untuk wanita sangat sempit dan berebut-rebut dengan jemaah wanita Arab untuk melaksanakan solat.




Selesai solat, kami meneruskan perjalanan ke Alex. Walaubagaimanapun, sekali lagi kami berhenti untuk menikmati kehidupan haiwan-haiwan di Qaryatul Asad (perkampungan singa). Kalau di Malaysia ianya tidak ubah kelihatan seperti zoo.




Seterusnya kami meneruskan perjalanan ke Alex dan tiba di Alex sekitar waktu Asar. Pada kali pertama memasuki bandar Alex, kami berasa sangat kagum melihat keindahan bandar tersebut. Namun, semua itu hanya sementara apabila berita yang sangat kami takutkan sebelum tiba di Alex iaitu akan berlaku demonstrasi di Alex.




Dari pemandangan dalam van menuju ke kubu Salahuddin Al-Ayyubi kami dapat melihat sekeliling kawasan persekitaran yang tebal dengan asap hitam dan sampah merata-rata. Perpustakaan awam yang bakal kami ziarahi juga telah ditutup dan balai polis, kereta-kereta marak dengan api yang menyala. Suasana sepi menandakan satu peristiwa yang dahsyat baru sahaja berlaku sebelum ketibaan kami di situ. Mungkin mereka berhenti untuk menunaikan solat Asar. Wallahu a’lam.




Kami tidak menghiraukan suasana tersebut dan mengagak ianya telah berakhir dan ada juga rasa syukur dalam diri kerana Allah membuatkan kami berhenti lama di Qaryatul Asad supaya tidak bertembung dengan peristiwa dahsyat itu.




Kami meneruskan perjalanan ke Kubu Salahuddin Al-Ayyubi dan menikmati keindahan sambil menangkap gambar di sana. Memandangkan hari sudah lewat kami mengambil keputusan untuk keluar dari kubu ketika mana kami melihat para petugas yang menjaga kubu berlari-lari ke arah kami dan melarang kami keluar daripada kubu.




Suasana cemas memandangkan kami tidak tahu apa yang berlaku, maka kami mengikuti para petugas tersebut juga melarikan diri menaiki kubu ke tingkat atas dan di ruangan terbuka di bahagian atas kubu kami dapat melihat asap hitam berkepul-kepul di awanan.




Subhanallah. Di luar, berdekatan kawasan perpustakaan awam Alex yang juga tidak jauh dari kawasan kubu tempat kami berada sedang berlaku rusuhan! Kami diperintahkan untuk berada di dalam kawasan kubu sehingga keadaan reda dan di khuatiri rusuhan tersebut menghampiri kawasan kubu maka kami dilarang keluar sama sekali.




Kami terpana dan terduduk mendengarkan kejadian yang berlaku. Di luar, suasana sedang kecoh merusuh berperang sesama sendiri sedangkan kami di dalam kubu hanya mampu berdoa tiada siapa yang tercedera mahupun terbunuh.




Mushrif kami berupaya memujuk petugas kubu untuk membenarkan kami keluar ke van memandangkan passport, visa dan semua barang-barang kami berada di dalam van. Tidak berapa lama kemudian, setelah hampir satu jam lebih kami berada dalam kubu, akhirnya kami dibenarkan keluar dan menunggu di luar kubu berdekatan Laut Mediterranean. Kami menunggu ketibaan van di luar sedangkan rusuhan juga hampir reda di kawasan berhampiran.




Apabila van tiba kami bergegas memasuki van dan terus berlalu dari kawasan kubu untuk ke tempat penginapan juga merupakan tempat tinggal kakak Nudra di Alex. Kami tiada pilihan selain melalui kawasan yang baru sahaja berlaku demonstrasi. Kami dapat melihat kawasan sekitar yang penuh dengan sampah sarap, kereta terbakar, asap berkepul-kepul di udara lebih teruk dari pemandangan yang kami lihat apabila tiba kali pertama tadi.




Sedang kami menghayati kawasan demonstrasi, sekali lagi kami terkedu dan terpana apabila melihat ramai manusia yang bergerak ke arah van kami. Pemandu van sudah mula menekan hon banyak-banyak kali. Kami yang berada dalam van hanya mampu berdiam diri. Hendak menangkap gambar mahupun merakam suasana tersebut juga menjadi seram sejuk apabila mereka mula mengetuk-ngetuk van.




Alhamdulillah syukur apabila pemandu van yang kami naiki pandai berlakon untuk meredakan suasana yang tegang. Mushrif juga bertindak menjerit-jerit memaklumkan kepada mereka bahawa van tersebut hanya dinaiki oleh pelajar Malaysia yang bertujuan untuk melancong dan bukan bertujuan untuk menyertai rusuhan.




Alhamdulillah, syukur sekali lagi apabila mereka bertindak memahami dan melepaskan kami melalui tengah-tengah demonstrasi tersebut. Puas juga kami mengelak perjalanan kami dari bertembung dengan mereka yang sedang berkumpul untuk meneruskan demonstrasi. Setiap kawasan pasti ada polis yang berkawal. Tidak lengang kawasan Alex daripada asap hitam yang berkepul-kepul di udara menandakan protes rakyat Mesir pada kerajaan.




Perancangan kami untuk membeli belah di Alex dan melawat beberapa buah kawasan yang lain terpaksa dibatalkan akibat peristiwa yang berlaku. Terasa sedih dan  sangat terkilan memandangkan lagi sehari kami bakal meninggalkan bumi Mesir untuk pulang ke Jordan. Terasa sedih dan terkilan jua apabila niat untuk bertemu teman-teman yang sudah lama tidak bertemu di Alex terpksa dibatalkan. Perhubungan komunikasi yang disekat membuatkan kami bertambah sedih dan risau dengan keadaan teman-teman Alex yang tinggal di kawasan berhampiran demonstrasi. Tiada khabar berita yang dapat diterima. Talian telefon mahupun internet disekat!




Walaubagaimanapun, nyawa lebih berharga. Sebagaimana sedih dan terkilan tidak dapat membeli belah dan melawat tempat-tempat sekitar ianya juga tidak akan terubat jika nyawa sudah hilang akibat rusuhan yang semakin menggila  di bumi Mesir.




Hari berikutnya, 29 Januari 2011, tinggal beberapa jam lagi sebelum kami bakal check-in menaiki kapal terbang di Borg El-Arabia, Alex. Pada waktu paginya kami keluar bersiar-siar menikmati pemandangan di Laut Mediterranean yang tidak jauh dari tempat tinggal kami.




Kami berjalan kaki ke laut dan mendapati suasana semakin teruk. Kawasan mall yang berdekatan bersepah dengan cermin yang pecah bertaburan. Balai polis yang dibakar meninggalkan kesan-kesan hitam di dindingnya. 2 buah kereta polis yang turut di bakar masih menyala api padanya. Dalam perjalan pulang dari laut kami dapat melihat sebuah kereta kebal melalui jalan yang lengang.




Pukul 10.45 pagi kami bertolak dari tempat tinggal ke lapangan terbang. Sepatutnya kami check-in pada pukul 10.45 pagi tersebut namun akibat kelewatan van maka kami hanya mampu berdoa agar kami dapat sampai ke lapangan terbang dengan selamat.




Alhamdulillah kami sampai di lapangan terbang sekitar jam 11.45 pagi dan terus check-in. Namun, sekali lagi kami di uji apabila nama kami tiada dalam sistem untuk pulang ke Jordan. Kami nekad untuk mempertahankan hak kami apabila kami diminta untuk membayar sejumlah wang untuk mendapatkan tiket kami. Alhamdulillah, petugas tersebut memahami dan membantu kami mendapatkan tiket. Tiket kami ditukar daripada tiket Air Arabia ke tiket Egypt Air namun penerbangan kami tetap menaiki kapal terbang Air Arabia. Alhamdulillah, terima kasih Ya Allah.




Namun, timbul juga rasa kasihan kami pada seorang pak cik Arab yang menghadapi masalah sama seperti kami namun dia kurang bernasib baik kerana tidak lepas daripada masalah tersebut seperti kami. Walaubagaimanapun, kami dapat merasakan bahawa Allah sentiasa bersama kami dalam setiap perjalanan kami mengembara di bumi Anbiya’ tersebut. Segala masalah kami dengan mudahnya Allah telah memberikan jalan penyelesaiannya.




Semasa menunggu di lapangan terbang, kami mendapat khabar bahawa Cairo sedang tegang dengan demonstrasi yang tidak tahu bila akan selesainya. Kami berasa sangat susah hati dan risaukan teman-teman daripada kumpulan Khairiah yang masih berada di Cairo dan mereka akan pulang ke Jordan pada hari esoknya.




Alhamdulillah. Tepat jam 3.15 petang, kapal terbang Air Arabia selamat mendarat di bumi Jordan bermakna kami juga telah terselamat daripada peristwa tegang di Mesir. Namun, hati tetap merasa tidak sedap apabila mengenangkan sahabat 11 orang yang masih berada di sana.




Ya Allah… Kau selamat dan permudahkanlah urusan sahabat-sahabat kami di bumi Mesir. Lindungilah mereka penuntut ilmu dan mereka yang tidak bersalah di sana. Kembalikanlah kami ke pangkuan keluarga masing-masing dengan selamat sebagaimana Kau membenarkan kami pergi dari keluarga kami untuk menuntut ilmu dengan selamatnya pada suatu ketika dahulu.




Kumpulan lagi satu, mereka terpaksa tinggal di Mesir buat sementara dan terpaksa membatalkan penerbangan mereka akibat peristiwa tersebut.




Khairiah, Juliyana, Huda, Aida, Nadiha, Hamiza, Izzati Jamaluddin, Atikah Ruslan, Fara, Asma’, Sarah Wahida. Kami menunggu kepulangan sahabat sekalian untuk sama-sama teruskan perjuangan saat akhir di bumi Jordan. Semoga kamu semua kembali dengan selamat. In sya Allah. Allah bersama kalian.  Ustaz Fared, Ustazah Ramiza dan anak-anak serta sahabat-sahabat penuntut ilmu di bumi Mesir sekalian, kami disini mendoakan anda semua selamat hendaknya. In sya Allah.




Berikut sedikit berita mengenai kejadian demonstrasi di bumi Mesir. Boleh lihat di sini.



kubu tempat kami berkurung semasa rusuhan





kelam kabut melarikan diri sewaktu rusuhan



menyaksikan suasana rusuhan dari dalam kubu





mushrif cuba berunding dengan petugas kubu untuk keluar dari kubu






asap tebal dari kubu





melalui kawasan rusuhan



kawasan asap tempat kereta dibakar







"Ya Tuhan, janganlah Engkau jadikan kami sasaran fitnah bagi kaum yang zalim, dan selamatkanlah kami dengan curahan rahmat-Mu dari tipu daya orang- orang yang kafir." (Surah Yunus: 85-86).






wida/CasaLova
31 Januari 2011
doa untuk sahabat-sahabat di Mesir.



9 comments:

  1. Nangis akak baca..Harap semua sahabat2 di sana dalam keadaan selamat..Dapat bayangkan ketakutan bila terjadi mcm ni kan..Rasa nyawa di hujung tanduk..

    Jaga diri baik2 ye Wirda..

    ReplyDelete
  2. huhu.tau xpe.berdebar2 gk.tp yakin Allah bersama.in sya Allah semua baek2 je..

    in sya Allah jg dri.akk pn sme lah kt sne..

    ReplyDelete
  3. Ya allah kak, alhamdulillah akak2 sume selamat..apa pon..truskan berdoa untuk kwn2 di mesir...

    ReplyDelete
  4. alhamdulillah..riso ktorg..

    sempat lagi akk tgkp gmbar tgh rusuhan..isk2..

    ReplyDelete
  5. Fad n dak adab>>

    Alhamdulillah,bersyukur sgt3 ktorg sampai dengan selamat. kre mcm wakil backup utk group lagi 1 tuk mggu insihab idofah ni. ppe pun, doakan semua selamat n baek2 je.insyaAllah kheir..

    sempat je tgkp gmbr.tu pun gmbr curi la. x berani gk. rso kna serbu skali lagi. huhu..

    ReplyDelete
  6. alhamdulillah..selamat samapai ke bumi Irbid..adik..akk mohon linkkan post ni kat blog akk yer...moga berguna utk kita semua..

    ReplyDelete
  7. ummu faqeh>>

    Alhamdulillah beribu syukur kk..doakan sahabat2 yang laen juga smga slmt..

    sila lah,smga bermanfaat juga utk semua..

    ReplyDelete
  8. salam ziarah, alhamdulillah korg slmt.
    Pengalaman sgt berharga ni, unexpected incident, thanks atas perkongsian =D

    ReplyDelete
  9. kk ain>>

    terima kaseh akk sudi ziarah kte..
    lme xjmpe akk,smga shat2 je..

    pengalaman yang membuatkn dri brtmbh2 rs syukur dgn sgla nikmat Allah.nikmat Islam yg spttnya aman dan harmoni yg kini semakin d lupakan smua..

    geram dgn sikap org yg sntiasa mencabar hakikat nikmat aman dan harmoninya Islam tersebut.huh.

    ReplyDelete