Thursday, May 26, 2011

Hati Yang Hilang.



Bismillahirrahmanirrahim...
 





Hari ini sudah hampir satu minggu diri ini tidak lagi bergelar seorang pelajar atau penuntut ilmu Ijazah Sarjana Muda di Universiti Yarmouk, Jordan. Baru lepas ambil robe (jubah konvo) di universiti. 2 Jun akan menghadiri rehearsal bagi konvokesyen / graduasi pelajar. 8 Jun ini akan konvo bersama teman-teman di Universiti Yarmouk, Jordan walaupun ada juga teman-teman yang tidak dapat hadir bersama atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.






Alhamdulillah syukur dengan segala penat lelah berjuang selama ini. Walaupun bukan syahadat ini yang dipinta untuk sampai ke akhir, namun ini merupakan salah satu wadah untuk sampai kepada-Nya dan juga merupakan salah satu daripada sijil-sijil yang akan ditatap emak dan ayah yang serba sedikit akan mengukir senyuman tulus dibibir mereka.




Walaubagaimanapun, disamping tujuh hingga lapan hari yang berteman menandakan usainya menjawab kertas akhir peperiksaan bagi subjek Macroeconomics membuatkan diri ini sedar betapa berharga dan bernilainya masa sebagai seorang penuntut ilmu dan begitu sedihnya diri dan hati ini apabila nikmat masa yang diberi kini dibazirkan begitu sahaja.




Sekian akhir ini, kalau diri tidak menghadap laptop kesayangan untuk menonton cerita-cerita korea atau jepun, pasti akan keluar berjalan dan terus berjalan menikmati pemandangan bumi barakah yang bakal ditinggalkan hampir dua bulan nanti.




Entah mengapa, dalam masa menghargai sekeliling seperti yang telah dihajatkan dalam entri lepas untuk mencipta kenangan agar ia terpahat dalam memori ingatan. Namun diri ini, sekian hari berlalu, sekian itu itu jua semakin hilang hatinya. Terasa hidup itu ada, tetapi hati itu tiada! No feelings.



Begitu banyak perkara yang berlaku, baik dan buruk, suka dan duka, semua itu tetap ditelan apatah itu jualah hakikat penyeri kehidupan ini. Pahit dan manis kehidupan yang perlu diharungi. Cuma perbezaannya, bagaimana kita mengharunginya dan dengan siapa yang akan kita harungi semuanya itu.




Perasaan hati yang hilang itu begitu sukar untuk ditemukan apabila insan sekeliling yang sepatutnya memahami begitu sahaja menunjal hati untuk terus dan terus mendiamkan diri apatah lagi apabila diri juga seorang yang tidak pandai untuk meluahkan rasa.




Perasaan itu semakin terus dipendam sehingga ke pelosok yang paling dalam. Untuk diluahkan, bimbang akan dosa mengumpat yang akan termakan diri dan jiwa juga akhirnya, maka pengaduan kepada DIA yang Maha Mendengar itu jua lah yang menjadi ketenangan. Walau hakikat sebagai seorang manusia yang mempunyai hati dan perasaan yang begitu sensitifnya itu mahukan jua motivasi serta pembakar semangat bagi diri.




Mungkin kerana itu jualah mengapa Allah tidak membenarkan diri berseorangan apabila hati dilanda resah dan gelisah itu agar tiada tindakan bodoh yang dilakukan hatta apabila diri hilang kewarasan dan keimanan. Peranan mereka disekeliling sangat diperlukan dan hati menjerit-jerit memanggil siapkah yang bakal sudi memecahkan keresahan sang hati.




Sungguh, sudah lama bersama namun itu tetap tidak menjanjikan sesiapa untuk memahami. Sesungguhnya masa itu akan terus berlalu namun kenangan itu tetap boleh dicipta jika diri dan para hati mahukannya. Penting sangatkah untuk hidup dengan kenangan?




Sesungguhnya, kenangan dan memori yang tercipta itu sepertinya salah satu penyeri kehidupan. Walaupun tiada hala tujuan kehidupan, pasti hidup akan berseri jika kenangan itu yang difikirkan semula suatu tika nanti. Terutama apabila kenangan atau memori itu dicipta bersama dengan mereka yang tersayang dan apatah lagi apabila ianya diceritakan semula dengan mereka yang mahu untuk bersama mendengarkan kenangan itu.




Walaubagaimanapun, kenangan itu bukanlah syarat untuk kamu maju ke hadapan andai kamu alpa dalam kenangan sehingga tidak mahu maju ke hadapan tatkala yang lain sudah mula menggapai kejayaan. Kenangan yang membuatkan kamu leka dalamnya itu tetap akan menjadi kecundangan bagi kamu jika tiada usaha untuk kamu maju ke hadapan.




Andai tiada apa untuk dikenang, cukuplah merasa kenangan diri bersama si DIA. Semoga para hati tidak akan alpa untuk terus mencipta kenangan dengan-Nya. Apa yang telah dilakukan untuk-Nya? Nikmat masa yang diberi kini, adakah akan terus dibazirkan begitu sahaja? Ya Allah, lindungi diri dan para hati daripada nikmat masa yang alpa pada-Mu.




Hati yang kian hilang. Perasaan keseorangan yang pasti akan menjadi pembunuh jiwa! Sesungguhnya Allah jua telah berpesan untuk tidak berjuang berseorangan dalam kehidupanmu, mengapa begitu ego untuk tetap hidup seorang? Adakah kamu mampu hidup tanpa wujud orang lain disisi. Begitu tabik dengan orang sebegitu dan mahu lihat berapa lama mereka mampu bertahan. Sesungguhnya kita hidup jua memerlukan DIA!




“Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berperang dijalan-Nya dalam barisan yang teratur, mereka seakan-akan seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh.” (As-Saff: 4)




Begitu sedih dengan mereka yang berada dalam keramaian orang, namun masih terasa diri seorang! Bukanlah yang dipinta diri itu seorang namun entah dimana silapnya. Mungkin kesilapan itu daripada diri sendiri atau jua daripada mereka sekeliling yang tidak mahu memahamkan. Begitu susah menjadi diri sendiri jika masing-masing terus menolak untuk memahamkan diri masing-masing.




Semoga wujud dan hadirnya perasaan untuk menghargai yang lain supaya diri anda juga dihargai dan janganlah menjadikan seseorang itu keperluan apabila dikehendaki sahaja supaya anda jua tidak diperlakukan sebegitu rupa!




Antara hitam dan putih, antara baik dan jahat, adakala kita akan menjadi salah satu daripada itu. Oleh itu sedarlah bahawa sesiapa jua tidak berhak untuk menghukum mereka yang lain, kerana sungguh, hanya Allah Subhanahu Wa Taala yang berhak menghukum dan sesungguhnya DIA jua lah Yang Maha Mengetahui.




Setiap perkara yang dilakukan pasti ada baik dan buruknya, pasti ada balasan mahupun hikmahnya. Pilihlah yang mana anda suka bagi meneruskan kehidupan.




Sesungguhnya ada teringat pesanan daripada Hujjatul Islam, Imam al-Ghazali kepada semua bahawa, mafhumnya:



"Carilah hatimu di tiga tempat.Temuilah hatimu ketika kamu membaca Al Quran.Jika kamu tidak temui,carilah ia ketika kamu bersolat.Jika masih tidak temui,maka carilah ia semasa kamu bertafakkur mengingati mati.Jika engkau tidak temuinya juga,maka berdoalah kepada Allah untuk hati yang baru, kerana hakikatnya pada ketika itu,kau tidak mempunyai hati".




Jika anda berasa anda berada di atas, janganlah ingat anda akan selalu berada di atas. Berdoalah sentiasa, kerana hanya Allah sahajalah yang memegang hati yang berbolak balik ini.




Wallahu taala ‘alam.







wida/casalova/26 Mei 2011

mode kali ini:

* malam ini akan ke Aqobah bagi meraikan usaha yang telah dilakukan oleh mereka yang bersusah payah untuk meraikan kami yang bakal khirij. semoga ada hikmah dan manfaatnya. In sya Allah.


* sungguh, hanya dengan menulis dapat menenangkan hati ini walau tiada orang yang mahu baca atau ada yang mempertikaikan mengapa menggelarkan diri ini ‘penulis’ setiap kali dalam tulisan. Tujuan hanyalah berniat untuk memotivasikan diri dan tidak berhajat untuk menyakitkan hati sesiapa andainya kamu tidak pernah ada dalam masa-masa bersama maka kamu tidak berhak jua untuk mempertikaikan gelaran motivasi untuk diri ini. Kalau ada kata-kata yang membina dipersilakan, kalau ada kata-kata hinaan atau peril-perlian, aku tetap ambilnya positif memotivasikan diri. Alhamdulillah.


* walau apa pun, terima kasih kepada mereka yang sudi membaca tulisan-tulisan ini dan memberi semangat dibelakang. Hanya Allah yang mampu membalasnya. In sya Allah.





Wednesday, May 18, 2011

Hari & Masa Yang Berlalu






hari & masa yang berlalu, jangan biarkan ia pergi begitu sahaja,

cipta kenangan dengannya, agar ia terpahat, di dalam akar memori
ingatanmu.




Hari berlalu dan terus berlalu
Bahkan pergi, meninggalkan
Dari akar ingatan alpa
Hingga hujung pengakhiran masa.





wida/casalova, Irbid Jordan/18 Mei 2011
* sehari sebelum final exam Macroeconomics.
Exam last sebelum merdeka sebagai seorang penuntut ilmu Ijazah pada hari esok (19 Mei 2011).
Semoga mencapai redha-Nya dalam menuntut ilmu dunia dan akhirat.
Kena rajin! Chaiyok!


Monday, May 9, 2011

Setiap hari adalah HARI…


Bismillahirrahmanirrahim,


Alhamdulillah, hari ini terasa terpanggil juga untuk menulis entri mengenai hari Ibu apabila melihat ramai teman-teman bercerita mengenainya. Sebenarnya tidak kisah pun hari Ibu pada hari yang tertentu tersebut, sebabnya setiap orang pasti akan mengatakan yang tiap-tiap hari adalah hari Ibu. So, tidak perlulah hendak tertakluk sangat pada satu-satu hari untuk menyambut hari Ibu itu.


Tapi, mungkin kelebihannya pada hari Ibu ini adalah apabila mereka yang bergelar Ibu akan terasa sangat dihargai apabila anak-anaknya menyambut hari tersebut dengannya. Yelah, kalau tidak di ‘mention’ kan hari Ibu tersebut. Makanya, tidak adalah si anak-anak akan meluangkan masa untuk ibu mereka.


Alhamdulillah, ada jugalah hikmahnya walaupun ada pendapat yang mengatakan apabila menyambut hari-hari tertentu seperti ini sepertinya sama dengan orang-orang Kristian membuat sambutan pada hari-hari tertentu. Erkk, apakah??? Tidak mengapalah, tidak mahu bercakap lebih mengenainya.


Hendak dijadikan cerita, semalam penulis telefon Emak yang berada di Malaysia. Ketika penulis telefon, Emak tengah makan pada masa itu, rasa bersalah sebab mengganggu Emak makan, tapi tetap rasa terharu apabila Emak sanggup berhenti makan untuk bercakap dengan anaknya ini. Yelah, kalau sudah bercakap dengan Emak bukanlah setakat 5 hingga 10 minit.


Selalunya, hampir 1 jam jugalah, so, kalau hendak telefon Emak, kena pastikan diri betul-betul free masa itu, kalau tidak, rasa bersalah kalau cakap sebentar sahaja dengan Emak.hee... Bukanlah hendak dikatakan penulis yang bercakap banyak, memandangkan penulis ini selalunya hanya menjadi pendengar yang setia di mana-mana sahaja. Mendengar celoteh Emak terasa hati yang gundah menjadi sangat terhibur.


Kelakar juga apabila Emak menceritakan si Humaira yang tidak padan dengan umurnya 7 tahun tersebut sudah pandai wish ‘Selamat Hari Ibu’ kepada Emak. Tergelak besar apabila Emak menceritakan. Masa emak menjemput adik di sekolah, Emak dan Ayah ada terlihat ramai budak sekolah membeli bunga ros sempena hari Ibu. Emak membebel lah dekat si Adik dengan melarang Adik daripada membeli bunga tersebut. Membazir! Adik diam seribu bahasa sambil tersengih-sengih.


Esoknya, Emak dan Ayah sangt pelik. Kebiasaannya, Adik tidaklah bangun awal, tetapi pada hari tersebut, awal betul si Humaira ini bangun, waktu Emak dan Ayah hendak solat Subuh. Emak terkejut Adik Humaira sudah terpacak di hadapan tandas. Emak bertanyakan ‘kenapa’ apabila melihat Adik tersengih-sengih sambil kedua-dua belah tangannya diletakkan ke belakang.


Emak betul-betul terkejut apabila Adik ucap ‘SELAMAT HARI IBU emak!’ sambil menghulurkan sekuntum bunga ros merah yang disorokkan di belakangnya sebentar tadi. Dekat situ juga Emak tergelak besar sebab malam sebelumnya, Emak ada mengemas beg sekolah Adik untuk melihat kalau-kalau ada kerja sekolah yang perlu Adik siapkan dan yang menjadi kemusykilannya, Emak tidak nampak pula bunga tersebut di dalam beg sekolahnya itu. Entah di mana si Humaira sorokkan bunga tersebut untuk memberi kejutan pada Emak. Advance betul budak-budak zaman sekarang. Adik siapalah itu? huhu ;)


Walau pada hakikatnya, Emak kurang menyukai bunga-bunga. Namun, tahu sahaja di dalam hati Emak sangat terharu dengan anak-anaknya.


Penulis menelefon emak untuk mengucapkan ‘Selamat Hari Ibu’ walau berada kejauhan di luar negara. Adik penulis, Alang yang menuntut di ‘Food Institute of Malaysia’ yang berada jauh, juga menelefon Emak untuk mengucapkan ‘Selamat Hari Ibu’ sambil memperdengarkan Emak sebuah lagu daripada Azzam idola kecil yang bertajuk ‘kekasihku’. Penulis tergelak sahaja dengan cara masing-masing menunjukkan penghargaan mereka terhadap Emak. ‘Habis’ lah emak dapat anak-anak yang advance macam kami. hee :)


Untuk Angah pula, pada mulanya dia hendak buat-buat tidak tahu dengan hari tersebut. Tapi setelah di'bantai' oleh si kecil Humaira, maka akhirnya dia telah menghadiahkan bekas tupperware untuk kegunaan Emak. Tetapi akhirnya, bekas tersebut juga telah menjadi hak milik si Humaira.


Rupa-rupanya, dia telah menggeledah dahulu hadiah Angah untuk Emak, patutlah dia bertanyakan angah: “Angah, kau tak nak wish selamat hari ibu ke kat Emak? orang dah wish pagi tadi. siap bagi bunga lagi. Angah nak bagi apa pula?haa…” Tersengih-sengih sahaja dia bertanyakan Angah. Mulut dia… punyalah, mengalahkan orang dewasa! Geram betul. kalau bergaduh dengan dia, selalu sahaja kita yang kena mengalah. Eh, memanglah kita yang kena mengalah kan, tak kan lah dengan budak kecil pun hendak bergaduh. aiyoo.. =.=”


Si Ateh pula, pasti ada jugalah yang dilakukannya untuk Emak, tidak sempat pula bertanyakan dia buat apa untuk Emak sempena hari Ibu. Semalam ada juga ‘bergaduh’ dengan Alang dekat facebook tentang Emak sayang lebih kepada siapa. Mestilah sayang Along (penulis) lagi lebih daripada Alang! Masing-masing tidak mahu mengalah! Haisy.


Tapi, hakikatnya masing-masing tahu sahaja. Emak tidak pernah membahagi-bahagikan rasa kasih dan sayangnya kepada anak-anak. Kalau ada yang buat salah, mereka tetap akan kena dengan Emak. Kalau masa kecil-kecil dahulu, badan masing-masing pastilah akan berbekas pengajaran daripada penyangkut baju atau getap paip daripada Emak atau Ayah. Aduss… selalu penulislah yang kena sebab penulis anak sulung tapi nakal sangat selalu menyakat adik-adik sampai dia orang ni menangis. Sabar je lah. Mengada-ngada sangat sampai hendak menangis!


Tapi, bila sudah meningkat dewasa kini, terasa rindu pula dengan semua itu.hehe. (Tapi… kalau kak long balik nanti, Emak dan Ayah janganlah buat lagi singgah semua-semua itu kat badan kak long ye. sudah serik je. hehe…) Emak ayah mengajar penulis dengan cara tersebut dan penulis tidak pernah berasa kesal dengan sikap Emak Ayah sebab pada akhirnya, penulis kini telah sedar akan tanggungjawab menjaga adik-adik yang selalu penulis abaikan dahulu.


Wah, banyak cerita pasal family ni. Semuanya sebab menghargai Emak dan Ayah yang membesarkan kami dengan susah dan payahnya. Pelbagai dugaan. Semuanya kak long tahu dengan apa yang adik-adik tidak pernah tahu. Tidak mengapa. Semuanya akan menjadi darah daging kak long sehingga akhirnya.


Rindukan semua dan berharap dengan kesibukan kami pada masa akan datang, kami tidak akan melupakan bahawa setiap hari adalah HARI IBU dan setiap hari juga adalah HARI BAPA untuk Emak dan Ayah.


SELAMAT HARI IBU Emak. SELAMAT HARI BAPA Ayah.

mereka yang dirindui


Tidak lupa juga, SELAMAT HARI GURU kepada setiap insan yang pernah mencurahkan ilmu walau sepertinya setitik air di lautan jua.


Semoga Allah merahmati kalian. In sya Allah.


wida/ Casalova/ 9 Mei 2011
*Sekarang dalam fatrah final exam. Semoga semuanya baik-baik sahaja. In sya Allah.
All the best untuk semua.

Sunday, May 1, 2011

Pilihlah Jalan Kebahagiaanmu.


pilihlah jalan kebahagiaanmu




Kebahagiaan,
Tetaplah ia wujud di dalam genggamanmu,
Namun, tika itu jua…
Mengapa kau lepaskannya?
Hampa dan lemah,
Kau lepaskannya sebelum sempat perjuanganmu itu berakhir,
Mengapa kau lepaskannya?
Longgar dan terlerailah kebahagiaan dalam genggamanmu itu,
Sehingga ia jauh,
Terus jauh dan kejauhan…
Namun, tetaplah ia mengharap kau tidak lepaskannya,
Saat pada suatu ketika ia mampu bermanfaat padamu dan umat,
Pilihlah kebahagiaanmu,
Berusahalah dan berupayalah kamu,
Dalam mencapai,
Mencari galinya di dalam dirimu.





wida/casalova/1 Mei 2011
* mencari jalan bahagia berusaha mencapai ilmu sebanyak mungkin sebelum balik Malaysia.
hmm...semoga dipermudahkan segalanya. In sya Allah.