Monday, January 31, 2011

Pengalaman itu Sangat Berharga.


Bismillahirrahmanirrahim,







Salam hamdalah, syukur beribu syukur penulis memanjatkan kesyukuran kepada Ilahi kerana telah membawa penulis dan teman-teman kembali dengan selamat ke bumi Jordan.




Setelah sekian lama akhirnya penulis mampu meng-update blog ini. Pada 16 Januari 2011 penulis dan teman-teman seperjuangan telah berangkat ke Mesir untuk memenuhi cuti semester. Kami seramai 16 orang telah berpecah kepada 2 kumpulan untuk melawati bumi Mesir. Manakala teman seperjuangan seramai 4 orang lagi menghabiskan masa cuti mereka ke Turki.




Kumpulan pertama seramai 6 orang dan diketuai oleh teman serumah penulis sendiri iaitu Nudra Shafini dan kami pada dasarnya akan mengikuti travel yang akan dibawa oleh mushrif (peneman) juga teman satu sekolah Nudra dahulu serta rakan mushrif tersebut. Penulis mengikuti kumpulan ini yang juga merupakan setiap ahlinya adalah dari kalangan teman serumah penulis sendiri.




Manakala kumpulan kedua seramai  11 orang diketuai oleh Khairiah Mokhtar yang akan dibawa oleh mushrif merangkap sepupu Khairiah sendiri.




Kami telah berangkat ke bumi Mesir pada waktu yang sama namun, kepulangan kami tidak seiring bersama.




Penulis tidak berasa mahu menceritakan pengalaman bercuti di bumi Mesir yang sudah pasti penulis akan menceritakan betapa berharganya pengalaman berjalan di bumi anbiya’ yang terdapat macam-macam ragam manusia itu.




Pada entri kali ini penulis lebih berminat untuk menceritakan pengalaman sewaktu berlakunya rusuhan di bumi Mesir.




Pada 28 januari 2011, penulis dan teman-teman seperti biasa akan bangun awal untuk memenuhi tuntutan kami meneruskan perjalanan dari Cairo ke Alexandaria. Seperti biasa juga, walaupun kami telah bersiap awal, namun van yang bakal membawa kami ke destinasi lambat tiba. Lebih kurang pukul 9 pagi kami bertolak ke Alexandaria dan berhenti solat Jumaat bagi mushrif manakala kami terus melaksanakan solat jamak qasar memandangkan ruangan solat untuk wanita sangat sempit dan berebut-rebut dengan jemaah wanita Arab untuk melaksanakan solat.




Selesai solat, kami meneruskan perjalanan ke Alex. Walaubagaimanapun, sekali lagi kami berhenti untuk menikmati kehidupan haiwan-haiwan di Qaryatul Asad (perkampungan singa). Kalau di Malaysia ianya tidak ubah kelihatan seperti zoo.




Seterusnya kami meneruskan perjalanan ke Alex dan tiba di Alex sekitar waktu Asar. Pada kali pertama memasuki bandar Alex, kami berasa sangat kagum melihat keindahan bandar tersebut. Namun, semua itu hanya sementara apabila berita yang sangat kami takutkan sebelum tiba di Alex iaitu akan berlaku demonstrasi di Alex.




Dari pemandangan dalam van menuju ke kubu Salahuddin Al-Ayyubi kami dapat melihat sekeliling kawasan persekitaran yang tebal dengan asap hitam dan sampah merata-rata. Perpustakaan awam yang bakal kami ziarahi juga telah ditutup dan balai polis, kereta-kereta marak dengan api yang menyala. Suasana sepi menandakan satu peristiwa yang dahsyat baru sahaja berlaku sebelum ketibaan kami di situ. Mungkin mereka berhenti untuk menunaikan solat Asar. Wallahu a’lam.




Kami tidak menghiraukan suasana tersebut dan mengagak ianya telah berakhir dan ada juga rasa syukur dalam diri kerana Allah membuatkan kami berhenti lama di Qaryatul Asad supaya tidak bertembung dengan peristiwa dahsyat itu.




Kami meneruskan perjalanan ke Kubu Salahuddin Al-Ayyubi dan menikmati keindahan sambil menangkap gambar di sana. Memandangkan hari sudah lewat kami mengambil keputusan untuk keluar dari kubu ketika mana kami melihat para petugas yang menjaga kubu berlari-lari ke arah kami dan melarang kami keluar daripada kubu.




Suasana cemas memandangkan kami tidak tahu apa yang berlaku, maka kami mengikuti para petugas tersebut juga melarikan diri menaiki kubu ke tingkat atas dan di ruangan terbuka di bahagian atas kubu kami dapat melihat asap hitam berkepul-kepul di awanan.




Subhanallah. Di luar, berdekatan kawasan perpustakaan awam Alex yang juga tidak jauh dari kawasan kubu tempat kami berada sedang berlaku rusuhan! Kami diperintahkan untuk berada di dalam kawasan kubu sehingga keadaan reda dan di khuatiri rusuhan tersebut menghampiri kawasan kubu maka kami dilarang keluar sama sekali.




Kami terpana dan terduduk mendengarkan kejadian yang berlaku. Di luar, suasana sedang kecoh merusuh berperang sesama sendiri sedangkan kami di dalam kubu hanya mampu berdoa tiada siapa yang tercedera mahupun terbunuh.




Mushrif kami berupaya memujuk petugas kubu untuk membenarkan kami keluar ke van memandangkan passport, visa dan semua barang-barang kami berada di dalam van. Tidak berapa lama kemudian, setelah hampir satu jam lebih kami berada dalam kubu, akhirnya kami dibenarkan keluar dan menunggu di luar kubu berdekatan Laut Mediterranean. Kami menunggu ketibaan van di luar sedangkan rusuhan juga hampir reda di kawasan berhampiran.




Apabila van tiba kami bergegas memasuki van dan terus berlalu dari kawasan kubu untuk ke tempat penginapan juga merupakan tempat tinggal kakak Nudra di Alex. Kami tiada pilihan selain melalui kawasan yang baru sahaja berlaku demonstrasi. Kami dapat melihat kawasan sekitar yang penuh dengan sampah sarap, kereta terbakar, asap berkepul-kepul di udara lebih teruk dari pemandangan yang kami lihat apabila tiba kali pertama tadi.




Sedang kami menghayati kawasan demonstrasi, sekali lagi kami terkedu dan terpana apabila melihat ramai manusia yang bergerak ke arah van kami. Pemandu van sudah mula menekan hon banyak-banyak kali. Kami yang berada dalam van hanya mampu berdiam diri. Hendak menangkap gambar mahupun merakam suasana tersebut juga menjadi seram sejuk apabila mereka mula mengetuk-ngetuk van.




Alhamdulillah syukur apabila pemandu van yang kami naiki pandai berlakon untuk meredakan suasana yang tegang. Mushrif juga bertindak menjerit-jerit memaklumkan kepada mereka bahawa van tersebut hanya dinaiki oleh pelajar Malaysia yang bertujuan untuk melancong dan bukan bertujuan untuk menyertai rusuhan.




Alhamdulillah, syukur sekali lagi apabila mereka bertindak memahami dan melepaskan kami melalui tengah-tengah demonstrasi tersebut. Puas juga kami mengelak perjalanan kami dari bertembung dengan mereka yang sedang berkumpul untuk meneruskan demonstrasi. Setiap kawasan pasti ada polis yang berkawal. Tidak lengang kawasan Alex daripada asap hitam yang berkepul-kepul di udara menandakan protes rakyat Mesir pada kerajaan.




Perancangan kami untuk membeli belah di Alex dan melawat beberapa buah kawasan yang lain terpaksa dibatalkan akibat peristiwa yang berlaku. Terasa sedih dan  sangat terkilan memandangkan lagi sehari kami bakal meninggalkan bumi Mesir untuk pulang ke Jordan. Terasa sedih dan terkilan jua apabila niat untuk bertemu teman-teman yang sudah lama tidak bertemu di Alex terpksa dibatalkan. Perhubungan komunikasi yang disekat membuatkan kami bertambah sedih dan risau dengan keadaan teman-teman Alex yang tinggal di kawasan berhampiran demonstrasi. Tiada khabar berita yang dapat diterima. Talian telefon mahupun internet disekat!




Walaubagaimanapun, nyawa lebih berharga. Sebagaimana sedih dan terkilan tidak dapat membeli belah dan melawat tempat-tempat sekitar ianya juga tidak akan terubat jika nyawa sudah hilang akibat rusuhan yang semakin menggila  di bumi Mesir.




Hari berikutnya, 29 Januari 2011, tinggal beberapa jam lagi sebelum kami bakal check-in menaiki kapal terbang di Borg El-Arabia, Alex. Pada waktu paginya kami keluar bersiar-siar menikmati pemandangan di Laut Mediterranean yang tidak jauh dari tempat tinggal kami.




Kami berjalan kaki ke laut dan mendapati suasana semakin teruk. Kawasan mall yang berdekatan bersepah dengan cermin yang pecah bertaburan. Balai polis yang dibakar meninggalkan kesan-kesan hitam di dindingnya. 2 buah kereta polis yang turut di bakar masih menyala api padanya. Dalam perjalan pulang dari laut kami dapat melihat sebuah kereta kebal melalui jalan yang lengang.




Pukul 10.45 pagi kami bertolak dari tempat tinggal ke lapangan terbang. Sepatutnya kami check-in pada pukul 10.45 pagi tersebut namun akibat kelewatan van maka kami hanya mampu berdoa agar kami dapat sampai ke lapangan terbang dengan selamat.




Alhamdulillah kami sampai di lapangan terbang sekitar jam 11.45 pagi dan terus check-in. Namun, sekali lagi kami di uji apabila nama kami tiada dalam sistem untuk pulang ke Jordan. Kami nekad untuk mempertahankan hak kami apabila kami diminta untuk membayar sejumlah wang untuk mendapatkan tiket kami. Alhamdulillah, petugas tersebut memahami dan membantu kami mendapatkan tiket. Tiket kami ditukar daripada tiket Air Arabia ke tiket Egypt Air namun penerbangan kami tetap menaiki kapal terbang Air Arabia. Alhamdulillah, terima kasih Ya Allah.




Namun, timbul juga rasa kasihan kami pada seorang pak cik Arab yang menghadapi masalah sama seperti kami namun dia kurang bernasib baik kerana tidak lepas daripada masalah tersebut seperti kami. Walaubagaimanapun, kami dapat merasakan bahawa Allah sentiasa bersama kami dalam setiap perjalanan kami mengembara di bumi Anbiya’ tersebut. Segala masalah kami dengan mudahnya Allah telah memberikan jalan penyelesaiannya.




Semasa menunggu di lapangan terbang, kami mendapat khabar bahawa Cairo sedang tegang dengan demonstrasi yang tidak tahu bila akan selesainya. Kami berasa sangat susah hati dan risaukan teman-teman daripada kumpulan Khairiah yang masih berada di Cairo dan mereka akan pulang ke Jordan pada hari esoknya.




Alhamdulillah. Tepat jam 3.15 petang, kapal terbang Air Arabia selamat mendarat di bumi Jordan bermakna kami juga telah terselamat daripada peristwa tegang di Mesir. Namun, hati tetap merasa tidak sedap apabila mengenangkan sahabat 11 orang yang masih berada di sana.




Ya Allah… Kau selamat dan permudahkanlah urusan sahabat-sahabat kami di bumi Mesir. Lindungilah mereka penuntut ilmu dan mereka yang tidak bersalah di sana. Kembalikanlah kami ke pangkuan keluarga masing-masing dengan selamat sebagaimana Kau membenarkan kami pergi dari keluarga kami untuk menuntut ilmu dengan selamatnya pada suatu ketika dahulu.




Kumpulan lagi satu, mereka terpaksa tinggal di Mesir buat sementara dan terpaksa membatalkan penerbangan mereka akibat peristiwa tersebut.




Khairiah, Juliyana, Huda, Aida, Nadiha, Hamiza, Izzati Jamaluddin, Atikah Ruslan, Fara, Asma’, Sarah Wahida. Kami menunggu kepulangan sahabat sekalian untuk sama-sama teruskan perjuangan saat akhir di bumi Jordan. Semoga kamu semua kembali dengan selamat. In sya Allah. Allah bersama kalian.  Ustaz Fared, Ustazah Ramiza dan anak-anak serta sahabat-sahabat penuntut ilmu di bumi Mesir sekalian, kami disini mendoakan anda semua selamat hendaknya. In sya Allah.




Berikut sedikit berita mengenai kejadian demonstrasi di bumi Mesir. Boleh lihat di sini.



kubu tempat kami berkurung semasa rusuhan





kelam kabut melarikan diri sewaktu rusuhan



menyaksikan suasana rusuhan dari dalam kubu





mushrif cuba berunding dengan petugas kubu untuk keluar dari kubu






asap tebal dari kubu





melalui kawasan rusuhan



kawasan asap tempat kereta dibakar







"Ya Tuhan, janganlah Engkau jadikan kami sasaran fitnah bagi kaum yang zalim, dan selamatkanlah kami dengan curahan rahmat-Mu dari tipu daya orang- orang yang kafir." (Surah Yunus: 85-86).






wida/CasaLova
31 Januari 2011
doa untuk sahabat-sahabat di Mesir.



Sunday, January 2, 2011

Gempa bumi di Irbid?!

Kawasan tompok berwarna merah merupakan tempat kejadian & tempat kediaman penulis bersama teman seperjuangan.



LEMBAH UTARA IRBID (2 Januari 2011): PANIK, itulah perasaan yang boleh digambarkan oleh mahasiswa-mahasiswa Malaysia yang mendiami Bandar Irbid ketika mana berlaku gegaran kecil sekitar beberapa saat disini semalam (1 Januari 2011). Kejadian itu berlaku selepas waktu Isyak waktu Jordan, mungkin sekitar 6.30 malam sebab kebetulan penulis melihat jam masa itu.






Menurut sumber berita 'Amon', ketika menghubungi Gabenor Wilayah Irbid, Imad Azzam, beliau berkata: "Saya berasa gegaran berlaku selama beberapa saat. Saya juga menghubungi beberapa kenalan lain yang menetap disekitar dan ternyata mereka juga merasakan hal yang sama.”






Betul ke? Ya Allah, macam tak percaya je. Semasa peristiwa berlaku, penulis sedang mengulangkaji pelajaran (tengah nak khatamkan satu buku subjek fikr masrofi, esok nak exam.huhu..) di atas katil. Kebetulan penulis berseorangan kerana teman sebilik baru sahaja keluar sebentar pergi ke dapur.





Tergamam. Penulis kaku sebentar diatas katil akibat gegaran seolah-olah bermimpi. Masa tu, penulis berdebar tahap apa pun dah tak tahu la, rasa nak terkeluar jantung. Ingatkan ada makhluk ke hantu ke yang gegarkan katil (huhu, penakut juga rupanya selama ni tunjuk ‘macho’ lah kononnya..)




Selepas gegaran berlaku, teman sebilik masuk ke dalam bilik seolah tiada apa yang berlaku. Aduih, penulis fikir mungkin kepala sudah ‘pusing’ lah kot sebab menelaah kitab dari pagi sampai malam. Penulis ambil keputusan mendiamkan diri. Tidak sampai beberapa minit kemudian penulis lihat status sahabat-sahabat Jordan di Facebook menandakan mereka juga merasai gegaran yang sama.




Akhirnya penulis sedar bahawa ianya bukan mimpi. Penulis membaca laporan mengenai gegaran tersebut di sini dan di sini bagi terjemahannya.





Penulis terfikir, bagaimana sekiranya ditakdirkan gempa bumi pada masa itu berlaku menyebabkan kemusnahan. Ya Allah…sesungguhnya Kau Maha Mengetahui segalanya yang kami tidak tahu.




ذلكم خير لكم إن كنتم تعلمون
“Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui.” (Surah As-Saff:11)




Semoga kami di’panggil’ dalam keadaan kami telah bertaubat dan beriman kepada-Mu. Jangan lah Kau lalaikan para hati dalam kealpaan dunia.




“Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang telah melupakan (perintah perintah) Allah, lalu Allah menjadikan mereka melupakan (amal-amal yang baik untuk menyelamatkan) diri mereka. Mereka itulah orang-orang yang fasik – derhaka.” (Surah Al-Hasyr:19)






Selain gempa bumi, jordan juga sekarang sedang digeruni dengan kes jangkitan selsema babi penyakit H1N1 yang terus meningkat sehingga hampir kepada 50 orang. Boleh lihat di sini.




Ya Allah. Walau apa pun cabaran dan dugaannya, permudahkanlah segala urusan kami disini. Lindungilah seluruh umat Islam khususnya dan berikanlah hidayah petunjuk-Mu kepada diri dan mereka yang masih alpa dengan kemanisan dunia.




قَالَ رَبِّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ أَنْ أَسْأَلَكَ مَا لَيْسَ لِي بِهِ عِلْمٌ وَإِلاَّ تَغْفِرْ لِي وَتَرْحَمْنِي أَكُن مِّنَ الْخَاسِرِينَ



“Nabi Nuh berkata: "Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku berlindung kepadaMu daripada memohon sesuatu yang aku tidak mempunyai pengetahuan mengenainya dan jika Engkau tidak mengampunkan dosaku, dan memberi rahmat kepadaku, nescaya menjadilah aku dari orang-orang yang rugi.” (Surah Hud:47)




Wallahu taala a’lam.




SELAMAT TAHUN BARU MASIHI 2011.




Semoga dengan pertambahan usia bumi membuatkan kita tidak alpa dalam menghitung hari berjumpa dengan-Nya walau hakikat kita tidak mengetahui ‘due date’ nya.






Semoga pertemuan dengan Al-Khaliq dan pertemuan dengan baginda Rasulullah shalallahu ‘alaihi wasalam menjadi rindu-rinduan setiap saudara se-Islam dan semoga ianya menjadi salah satu azam tahun baru kita.






Kalau ia sudah menjadi azam kita, maka kita pasti akan cuba sedaya-upaya dalam mempersiapkan diri untuk bertemu dengan rindu-rinduan kita. Semoga tahun ini amalan diri dapat dipertingkatkan ke arah yang lebih baik dan terus baik. In sya Allah.





Wida/2 Januari 2011
My sweet home casalova yang sejukkkk macam duduk dalam peti ais.
‘Release’ sekejap sambil mengenang peristiwa gegaran semalam sebelum kembali ber‘uzlah’ menghadap buku Fiqh Muamalat2.
Exam oh exam, semoga dipermudahkan’. pening daa..