Thursday, December 30, 2010

AL-LUQATAH اللقطة



Bismillahirrahmanirrahim.


Sempena musim ‘final exam’ yang bakal tiba tidak lama lagi, terpaksalah penulis merajinkan diri untuk berhempas pulas dengan buku-buku yang tersangatlah dicintai.


Isy! Tidak sepatutnyalah hadir perasaan ini dalam diri. Ada pula buat sesuatu kerana terpaksa.


Warning! Warning! Penulis dan semua teman-teman kena betulkan niat semula!


‘Study’ bukan untuk ‘exam’ sahaja ok!


‘Study’ untuk mendapatkan ilmu-Nya. ‘Study’ untuk mengamalkan ilmu-Nya dan ‘study’ untuk menyampaikan ilmu-Nya kembali nanti supaya terus tersebar di muka bumi yang bertuah ini. In sya Allah.


Habislah bab tajdid niat. Sebenarnya penulis berniat untuk berkongsi sedikit mengenai salah satu tajuk pembelajaran yang penulis hampir ‘blur’  dalam memahami maksudnya.


Alhamdulillah. Akhirnya, penulis terjumpa sebuah artikel mengenainya.


Al-luqatah (اللقطة) merupakan salah satu tajuk dalam matapelajaran Fiqh Muamalat 2 yang penulis ambil untuk semester 7 ini.


Artikel yang tertulis di bawah telah dikemasakini oleh penulis dan sedikit sebanyak tidak lari maksudnya daripada artikel asal dan kitab Fiqh Al-Muamalat (bahagian ke-2) oleh Al-Ustaz Ad-Duktur Ahmad Muhammad As-Saad yang sedang dibaca dan dikaji oleh penulis dan teman-teman seperjuangan.


Berikut merupakan artikel mengenainya: (boleh rujuk di sini)


AL-LUQATAH - Barang Temuan



1.0 PENDAHULUAN


Luqatah merupakan suatu tingkah laku dimana manusia menemui barang yang dirasakan ianya tercicir oleh tuannya dan dipertanggungjawabkan bagi individu yang menemukannya itu untuk memulangkannya kembali kepada tuannya agar tuannya tidak merasa susah hati terhadap barang tersebut.


Disini dinyatakan secara terperinci mengenai luqathah supaya setiap individu sedar akan tanggungjawab mereka sekiranya menemui atau terjumpa barang yang dirasakan milik seseorang tetapi pemiliknya tiada.


2.0 DEFINISI


Luqathah ialah semua barang yang terpelihara dan tidak diketahui pemiliknya.
Pada umumnya luqathah berlaku untuk barang selain haiwan. Tetapi jika ia haiwan, maka ia dipanggil adh-dhallah (
الضالة  - binatang yang tersesat ).



3.0 HUKUM


Keadaan pertama:
Memungut barang yang ditemui adalah sunnah (الندب ) jika keadaan ketika menemukan barang tersebut dalam keadaan aman jika barang tersebut dibiarkan. Contohnya tiada pencuri. Tetapi ada juga yang mengatakan hukumnya wajib (واجب) tetapi jika keadaan tempat tersebut tidak aman.


Keadaan kedua:
Jika orang yang menemukan barang tersebut dan mendapati ciri-cirinya boleh menimbulkan perasaan tamak orang lain terhadap barang tersebut, maka harusمباح)  ) bagi dia yang yakin akan dirinya boleh bersikap amanah terhadap barang tersebut untuk mengambil barang yang dijumpai itu dan menjaga serta memulangkannya kepada tuannya kembali. Tujuan dia mengamibil barang tesebut adalah kerana dia takut barang tersebut akan dijumpai oleh orang fasik yang akan menjadikan barang tersebut miliknya tanpa menemukan barang tersebut dengan tuannya kembali.


Keadaan ketiga:
Jika orang yang menemui barang tersebut menyedari bahawa dia mempunyai perasaan tamak terhadap barang tersebut, maka hukumnya haram (حرام ) bagi mengambil barang tersebut.



Antara syarat orang yang boleh mengambil barang tersebut ialah :

1. Merdeka.
2. Baligh.
3. Berakal.



Orang yang tidak merdeka, kanak-kanak belum baligh dan orang yang tidak berakal tidak diharuskan untuk memungut barang tersebut.



Hadith baginda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:


حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ يُوسُفَ أَخْبَرَنَا مَالِكٌ عَنْ رَبِيعَةَ بْنِ أَبِي عَبْدِ الرَّحْمَنِ عَنْ يَزِيدَ مَوْلَى الْمُنْبَعِثِ عَنْ زَيْدِ بْنِ خَالِدٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ جَاءَ رَجُلٌ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَسَأَلَهُ عَنْ اللُّقَطَةِ فَقَالَ اعْرِفْ عِفَاصَهَا وَوِكَاءَهَا ثُمَّ عَرِّفْهَا سَنَةً فَإِنْ جَاءَ صَاحِبُهَا وَإِلا فَشَأْنَكَ بِهَا قَالَ فَضَالَّةُ الْغَنَمِ؟ قَالَ: هِيَ لَكَ أَوْ لأخِيكَ أَوْ لِلذِّئْبِ. قَالَ فَضَالَّةُ الإبِلِ قَالَ: مَا لَكَ وَلَهَا مَعَهَا سِقَاؤُهَا وَحِذَاؤُهَا تَرِدُ الْمَاءَ وَتَأْكُلُ الشَّجَرَ حَتَّى يَلْقَاهَا رَبُّهَا.



Telah menceritakan kepada kami 'Abdullah bin Yusuf telah mengkhabarkan kepada kami Malik dari Rabi'ah bin Abi 'Abdurrahman dari Yazid, maula Al Munba'its dari Zaid bin Khalid Al Juhaniy radhiallahu 'anhu berkata;

Datang seorang lelaki kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam lalu bertanya kepada baginda tentang barang temuan. Maka Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: “Kamu kenali bentuk dan talinya (bekasnya), kemudian umumkanlah dalam tempoh satu tahun dan jika datang pemiliknya maka serahkanlah kepadanya, sekiranya tiada yang datang, maka terserahlah kepadamu.”

Orang itu bertanya lagi, bagaimana kalau barang temuan itu berupa kambing?  Maka Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: “Itu untuk kamu atau saudaramu atau serigala (bererti boleh diambil).”

Lalu orang itu bertanya lagi tentang menemukan unta. Maka Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda menjawab: “Apa pedulimu terhadapnya? Ia (unta itu) sudah membawa bekas air dan kasutnya sendiri (kuat menahan dahaga beberapa hari dan kuat berjalan). Ia mampu pergi ke tempat-tempat air dan memakan pokok-pokok kayu sehinggalah ia ditemui oleh tuannya.” (HR Bukhari; Kitab:Barang temuan; No: 2251).


حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ مَسْلَمَةَ بْنِ قَعْنَبٍ حَدَّثَنَا سُلَيْمَانُ يَعْنِي ابْنَ بِلَالٍ عَنْ يَحْيَى بْنِ سَعِيدٍ عَنْ يَزِيدَ مَوْلَى الْمُنْبَعِثِ أَنَّهُ سَمِعَ زَيْدَ بْنَ خَالِدٍ الْجُهَنِيَّ صَاحِبَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُا سُئِلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ اللُّقَطَةِ الذَّهَبِ أَوْ الْوَرِقِ فَقَالَ اعْرِفْ وِكَاءَهَا وَعِفَاصَهَا ثُمَّ عَرِّفْهَا سَنَةً فَإِنْ لَمْ تَعْرِفْ فَاسْتَنْفِقْهَا وَلْتَكُنْ وَدِيعَةً عِنْدَكَ فَإِنْ جَاءَ طَالِبُهَا يَوْمًا مِنْ الدَّهْرِ فَأَدِّهَا إِلَيْهِ.



Telah menceritakan kepada kami Abdullah bin Maslamah bin Qa'nab telah menceritakan kepada kami Sulaiman -هaitu Ibnu Bilal- dari Yahya bin Sa'id dari Yazid -bekas budak Al Munba'its- bahwa dia mendengar Zaid bin Khalid Al Juhani salah seorang sahabat Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berkata, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah ditanya mengenai barang temuan yang berisi emas atau perak. Maka baginda bersabda: Kenalilah bentuk dan talinya (bekasnya), kemudian umumkanlah selama setahun, apabila pemiliknya tidak datang untuk mengenalinya, maka -untuk sementara waktu- kamu boleh memanfaatkan, dan itu sebagai barang simpanan untukmu. Seandainya di suatu hari pemiliknya datang mencari barang tersebut, maka berikanlah barang tersebut kepadanya. (HR Muslim; Kitab:Barang temuan; No: 3249)




4.0 LUQATAH DI TANAH SUCI


Hukum memungut barang yang ditenui di Tanah Suci adalah haram, kecuali untuk diumumkan kepada khalayak ramai. Rasulullah shalallahu ‘alaihi wasallam 
pernah bersabda:


لا يلتقط لقطتها إلا من عرفها .


“Tidak boleh memungut barang temuan, (maksudnya adalah kota Makkah) kecuali bagi orang yang akan mengumumkannya”



لا يرفع لقطتها إلا منشد اي المعرف بها.

“Tidak boleh mengambil barang temuan, kecuali orang yang akan mengumumkannya”



5.0 MENGUMUMKAN BARANG TEMUAN (
التعريف باللقطة) 



Diwajibkan bagi orang yang menemukan barang temuan untuk : ( مكان التعريف وكيفيته )

1. Memerhatikan tanda-tanda yang membezakannya dengan barang lain.
2. Baik tempat dan yang berkaitan dengannya.
3. Membezakan jenis dan ukurannya.
4. Memeliharanya seperti barang sendiri sama ada barang tersebut mahal atau murah.


Barang temuan tersebut adalah barang wadi`ah. Orang yang menjumpai barang tersebut tidak bertanggungjawab (tidak menjamin - لا يضمن) jika terdapat kerosakan kecuali dengan sengaja. Dia harus mengumumkannya dengan pelbagai cara dan tempat yang dijangka kuat pemiliknya ada disitu.



Jika pemiliknya datang dan menyebutkan ciri-ciri barang tersebut dengan sempurna, maka dia harus mengembalikannya sekalipun tidak ada bukti yang nyata.



Penemu waijb mengumumkannya selama setahun ( مدة التعريف ). Setelah tempoh tersebut, jika tidak ada yang mengaku pemiliknya, maka halal baginya untuk bersedekah  atau memanfaatkannya sama ada diri sendiri atau orang lain.



Rasulullah shalallahu ‘alaihi wasallam pernah ditanya mengenai barang temuan yang ditemui di jalan Amirah.



Baginda bersabda:


عرفها حولا فإن وجدت باغيها فأدها إليه والا فهي لك


“Umumkanlah dalam tempoh setahun, sekiranya datang tuannya, maka serahkanlah kepadanya, sekiranya tiada yang datang, maka terserahlah kepadamu.”



Rasulullah shalallahu ‘alaihi wasallam kemudian ditanya kembali, “Bagaimana dengan barang yang ditemukan di runtuhan?” Baginda menjawab:


فيه وفي الركاز الخمس


“Harta tersebut, juga barang tambang, wajib dizakatkan seperlimanya”



Ibnul Qayyim berkata, “ketentuan tersebut berlaku untuk barang yang tidak jelas. Jika ada orang yang mengaku walaupun hanya sekali, maka tidak ada orang yang berhak atas barang yang telah ditinggalkannya”.



6.0 PENGECUALIAN UNTUK MAKANAN DAN BARANG YANG KECIL


Jika barang tersebut makanan, maka ia tidak diwajibkan untuk mengumumkannya dan boleh untuk memakannya. Anas bercerita bahawa Rasulullah shalallahu ‘alaihi wasallam pernah menemukan buah-buahan di tengah jalan. Lalu baginda bersabda:



لولا اني اخاف ان تكون من الصدقة لأكلته


"Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a katanya:
Rasulullah shalallahu ‘alaihi wasallam telah menemui sebiji kurma lalu bersabda: Seandainya kurma itu bukan dari kurma sedekah, tentu aku telah memakannya.” (HR Bukhari & Muslim)



Begitu juga dengan barang yang tidak bernilai maka barang tersebut tidak perlu diumumkan selama setahun, melainkan diumumkan pada tempoh waktu yang diduga yakin pemiliknya berada di sana sehingga tidak ada lagi orang yang menuntut. Orang yang menjumpai barang tersebut boleh memanfaatkannya jika barang tersebut pemiliknya tidak mengetahuinya.



رخص لنا رسول الله صلى الله عليه وسلم في العصا والسوط والحبل وأشباهه يلتقطه الرجل ينتفع به.


“Rasulullah telah memberikan keringanan kepada kami, bahawa tongkat, cambuk, tambang dan sejenisnya yang ditemukan seseorang, maka ia boleh memanfaatkannya.” (HR Abu Daud dan Ahmad).


Diriwayatkan oleh Ali bahawa seseorang menemui Rasulullah shalallahu ‘alaihi wasallam dengan membawa satu dinar yang ditemukannya di pasar. Rasulullah shalallahu ‘alaihi wasallam bersabda:



عرفه ثلاثا ففعل فلم يجد أحدا يعرفه فقال : كله.


“Umumkanlah selama tiga hari.” Orang itupun mengumumkannya selama tiga hari, tetapi tidak seorang pun datang mengakui. Lalu Rasulullah bersabda, gunakanlah untuk keperluanmu” (HR Abdurrazaq dari Abu Said)




7.0 KAMBING YANG TERSESAT



Kambing yang tersesat atau seumpamanya boleh diambil kerana kambing merupakan haiwan yang lemah dan ia mudah diterkam oleh binatang buas. Ia wajib diumumkan. Apabila pemiliknya tidak datang, maka orang yang menemukannya boleh mengambilnya dan membayar ganti rugi untuk pemiliknya jika dia datang mengakuinya selepas itu.



Menurut mazhab Maliki, orang yang menemukannya itu berhak memiliki kambing tersebut setelah menangkapnya dan tidak dipertanggungjawabkan selepas pemilik datang menuntut.



Kerana ia berdasarkan hadith yang telah diuraikan tadi menyamakan antara serigala dengan orang yang menemukannya. Serigala tidak bertanggungjawab membayar ganti rugi, demikian pula penemu. Ini berlaku apabila pemiliknya baru datang setelah kambing itu telah dimakan. Jika ia datang sebelum kambing itu dimakan, menurut sepakatan ulama, kambing itu wajib dikembalikan kepadanya.




8.0 UNTA, LEMBU, KELDAI YANG TERSESAT



Para ulama telah bersepakat bahawa untu yag tersesat tidak boleh diambil. Bukhari meriwayatkan dari Zaid bin Khalid bahawa Rasulullah shalallahu ‘alaihi wasallam pernah ditanya mengenai unta yang tersesat. Baginda menjawab:



مَا لَكَ وَلَهَا مَعَهَا سِقَاؤُهَا وَحِذَاؤُهَا تَرِدُ الْمَاءَ وَتَأْكُلُ الشَّجَرَ حَتَّى يَلْقَاهَا رَبُّهَا.



“Engkau tidak memiliki urusan dengannya. Biarkan ia terlepas, kerana ia mempunyai sepatu dan kantung minumnya sendiri. Ia pun boleh mendatangi air dan memakan dedaunan pepohonan sendiri sampai ia bertemu tuannya”. (HR Bukhari)




Maksudnya, unta yang tersesat tidak perlu ditangkap dan dipelihara. Unta memiliki sifat tahan terhadap rasa haus dan memliki kemampuan mendapatkan makanan dari pepohonan tanpa bersusah payah kerana lehernya juga panjang. Hal ini juga dapat menemukan tuannya. Sementara itu, lokasi tempat ia berada memudahkan pemiliknya untuk mencarinya jika dibandingkan dengan mencari ditengah-tengah unta milik orang lain.




Perkara tersebut berlaku hingga zaman Uthman radhiallahu ‘anhu yang kemudiannya mengeluarkan kebijaksanaan untuk menangkap unta yang tersesat dan mejualnya. Jika pemiliknya datang, dia berhak mengambil wang penjualan tersebut. Ibnu Syibah az-Zuhri berkata, pada masa khalifah Uthman bin Khattab, unta yang tersesat dijadikan pengangkutan. Pada masa khalifhah Utman bin Affan, beliau memerintahkan untuk mengumumkan unta yang hilang itu lalu menjualnya. Apabila pemiliknya datang, maka diberikan hasil penjualannya. Demikian menurut riwayat dari Malik di dalam kitab al-Muwattha’.



Khalifah Ali radhiallahu ‘anhu menetapkan kebijaksanaan yang berbeza. Beliau memerintahkan agar dibuatkan kandang untuk unta yang tersesat. Jika ada yang mengaku, dan mempunyai bukti-bukti yang cukup bahawa dia adalah pemiliknya, maka unta tersebut diberikan semula kepadanya. Jika tidak unta tersebut, tetap ditempat itu sebagaimana adanya dan tidak dijual. Kebijaksanaan ini dianggap sebagai kebijaksanaan yang terbaik oleh Ibnu Musayyab.



Haiwan-haiwan seperti lembu, kuda dan keldai menurut kalangan mazhab Syafie dan Ahmad, hukumnya sama seperti unta. Baihaqi meriwayatkan bahawa Mundzir bin Jarir berkata, dahulu aku bersama ayahku di Bawazij (kota tua di tepi sungai di sebelah atas kota Baghdad), iaitu di Sawad. Suatu hari, aku merehatkan gembalaanku dan ayahku melihat lembu lain bergabung dengan lembu gembalaanku. Maka ayahku bertanya, kenapa dengan lembu ini? Para pengembala menjawab, ada lembu lain bergabung dengan lembu gembalaan kami. Ayahku memerintahkan agar lembu itu dihalau sampailah ia pergi jauh dan tidak nampak lagi. Setelah itu, ayahku berkata aku pernah mendengar Rasulullah shalallahu ‘alaihi wassalam bersabda:




لا يأوي الضالة إلا ضال


“Tidaklah melindungi haiwan yang tersesat kecuali orang yang benar-benar sesat”.


Abu Hanifah berkata. Boleh menangkapnya, Malik berpendapat boleh menangkapnya jika dikuatirkan diterkam oleh binatang buas. Jika tidak, tidak perlu mengambilnya.



9.0 PEMBIAYAAN BARANG TEMUAN. (
 (النفقات اللقطة


Pembiayaan atau perbelanjaan barang temuan yang ditanggung oleh orang yang menemukan barang tersebut dapat diminta ganti kepada pemilik barang tersebut. Tetapi, ia tidak berlaku jika orang yang menemukan barang tersebut menunggangnya atau memerah susunya kerana ia sudah dianggap sebagai upah atau imbalan yang dikeluarkan.




10.0 HUKUM ANAK YANG DIJUMPAI (Al-Laqit - اللقيط)



Al-laqit ialah anak yang ditemukan terbuang di suatu tempat, tidak diketahui asal-usul, keturunannya, serta tidak ada seorang pun yang mengakuinya.


Hukum mengambil dan membesarkannya adalah fardhu kifayah dan boleh menjadi hukum fardhu ‘ain sekiranya risau mahupun takut sesuatu yang tidak baik berlaku kepadanya jika tidak mengambil dan menjaganya.



Pandangan Syaikh Jabir alJazairy (Minhaj al Muslim):


Sesiapa yang menemukannya hendaklah memperlihatkannya kepada orang lain tentang penemuannya bersama dengan barang lain yang ditemukan bersama anak itu. (Dalam realiti Malaysia, hendaklah dibuat laporan polis). 


Apabila bayi itu ditemukan dalam negara Islam, maka anak itu dianggap muslim, walaupun disekitarnya terdapat bukan Islam. 


Perbelanjaan terhadapnya:

- Sekiranya terdapat barang atau harta lain yang boleh dimanfaatkan yang ditemukan bersama anak tersebut, maka perbelanjaannya dengan menggunakan harta-hartanya.

- Sekiranya tidak terdapat barang atau harta lain bersamanya, maka perbelanjaannya bergantung kepada orang yang menemukannya (konsep tabarru’) dan mendidiknya sehingga besar setelah diberitahu umum mengenai penemuannya.


Siapa yang menemuinya berhak menjaganya jika dia disahkan orang yang baik-baik. Ini pernah berlaku di zaman Umar al-Khattab radhiallahu ‘anhu, di mana Umar membenarkan si fulan yang berjumpa bayi itu membelanya (Sayyid Sabiq, Fiqh Sunnah bab Laqit) Menurut Syaikh Jabir (Manhaj Muslim): Sebaiknya ia dibiayai oleh baitul Mal;(dalam realiti Malaysia ia diambilalih oleh Jabatan Kebajian Masyarakat.)


 Itulah pandangan feqah dalam urusan laqit. Kesimpulannya ia adalah urusan negara.


Dalam mazhab Hanafi kanak-kanak yang dijumpai di kawasan  zimmi (orang bukan Islam yang membuat perjanjian keamanan dengan pemerintah Islam yang merangkumi keamanan ke atas diri dan harta sebagai tukaran kepada bayaran jizyah dan kepatuhan kepada undang-undang Islam) adalah dianggap zimmi sekalipun dijumpai oleh orang Islam.


Walaubagaimanapun mengikut mazhab Syafie dan Hanbali anak tersebut adalah dianggap muslim kerana ia berada dalam Dar al Islam (Negara Islam) sekalipun terdapat zimmi dalam negara tersebut.




11.0 KESIMPULAN


Apabila menemui barang yang ditemui , maka haruslah dilihat dari sudut hati supaya berniat untuk memulangkannya kembali kepada tuannya, bukan dengan niat kepentingan diri sendiri untuk mengambilnya. Apabila ia diniatkan dengan ikhlas, maka Allah akan memudahkan segala urusan kerana niat kita hanyalah untuk menolong dan membantu saudara Islam yang lain. Dengan ini, manusia tidak akan tamak dengan kurniaan yang Allah berikan kepada hamba-hamba-Nya.



--------------


Semoga beroleh manfaat dan mampu memahaminya supaya mudah untuk diamalkan dan disampaikan kepada yang lain. Segala kekurangan mohon kemaafan dan jika ada yang tersalah fakta dsb boleh tegur untuk manfaat bersama. In sya Allah.



Wallahu taala a’lam.





wida/casalova/30 Disember 2010
6 hari sebelum ‘exam’ Fiqh Muamalat 2
Bittaufiq wannajah!